Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KATA MP | Pada 24 Feb lalu kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tumbang apabila Dr Mahathir Mohamad - tanpa dipaksa oleh sesiapa - meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Apabila perdana menteri meletak jawatan maka seluruh kabinet runtuh seperti pisang setandan yang dicantas tangkainya.

Maka berakhirlah kerajaan PH yang baru berumur 22 bulan. Ia jatuh bukan kerana ditolak rakyat melalui pilihan raya sebaliknya ditewaskan melalui manipulasi politik pintu belakang dan pengkhianatan seumpama politik jahat Si Kitol yang dikisahkan dalam Sejarah Melayu.

Tetapi dalam tempoh dua minggu sahaja PH berjaya mengumpulkan seluruh pimpinan peringkat tertingginya, ahli-ahli parlimen dan Adun dari seluruh negara untuk bertemu di Pusat Konvensyen Sime Darby di Kuala Lumpur dalam satu rapat yang dipanggil Perhimpunan Pertahankan Mandat Rakyat pada malam 9 Mac.

Saya hadir bersama dalam perhimpunan bersejarah itu kerana diundang atas kapasiti selaku Ahli Parlimen PH untuk Pasir Gudang. Saya dapat mendengar dan menyaksikan sendiri para pemimpin utama PH berucap untuk memberi penjelasan apa yang telah berlaku, kenapa ia berlaku, dan siapa watak yang mengkhianati mandat rakyat.

Dan yang lebih penting, pemimpin utama PH - iaitu Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu - telah menggariskan langkah-langkah tindakan ke hadapan untuk kita kembali semula sebagai kerajaan sah yang disokong rakyat melalui saluran undang-undang dan perlembagaan.

Ia akan dilakukan pada mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 yang akan bermula pada 18 Mei nanti melalui usul undi tidak percaya yang akan dibentangkan bagi menentukan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan GPS pimpinan Muhyiddin Yasin.

Sama-samalah kita tunggu. Sebagai ahli parlimen pembangkang sekarang, saya sudah menyiapkan diri untuk menjadi seorang ahli yang membina dan konstruktif.

Usul undi tidak percaya kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi berparlimen. Usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh PH itu sebenarnya baik bagi kerajaan PN.

Kalau beliau lulus dalam ujian pertama itu di parlimen nanti, maka keabsahan kerajaan tidak akan lagi dipertikaikan.

Muhyiddin boleh terus menjadi perdana menteri dan menteri-menteri yang baru dilantik dan mengangkat sumpah pula bolehlah menjalankan kerja.

Tetapi kalau Muhyiddin gagal melepasi undi tidak percaya itu, maka kita akan melihat sekali lagi episod pisang jatuh setandan.

Mungkin jalan keluar terakhir kembali kepada rakyat. PRU mungkin diadakan.


HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS