Ongkili: Muhyiddin ambil kira pengalaman saya dalam kabinet
Menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak, Maximus Ongkili percaya bahawa pengalamannya berkhidmat dalam kabinet sebelum ini merupakan faktor pelantikan terbarunya.
Menurut The Star, Ongkili berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak pernah bercakap kepadanya mengenai pelantikan itu sebelum pengumuman semalam.
"Saya satu-satunya pemimpin Sabah yang telah berkhidmat penggal sebagai menteri persekutuan," kata Ongkili, yang merupakan ahli Parlimen Kota Marudu dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).
"Saya percaya prestasi saya sebelum ini mungkin banyak diambil kira oleh Muhyiddin," tambahnya.
Menggambarkan pelantikan itu sebagai "kejutan yang menyenangkan", Ongkili berkata pejabat Muhyiddin telah menghubunginya minggu lalu untuk meminta CV dan salinan MyKadnya, meski tidak menyatakan sebab.
Ongkili pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2004), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (2008) dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (2013).
Sementara itu, bapa saudara Ongkili, Jeffrey Kitingan, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan semalam, berkata beliau memilih untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk mengakhiri persaingan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
"Sokonga orang baru adalah pilihan terbaik supaya negara dapat bergerak ke depan," katanya kepada The Star.

