Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sehari lepas angkat sumpah, Annuar harap parlimen dibubar
Diterbitkan:  Mar 11, 2020 11:13 AM
Dikemaskini: 9:12 AM
  • Dikemas kini dengan penjelasan Annuar Musa kepada pemberita berkaitan maksud sebenar tweet beliau.

Dua hari selepas kabinet baru diumumkan, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berharap parlimen dibubarkan agar kerajaan dapat dibentuk melalui “pintu depan”, seperti yang dimahukan Muafakat Nasional pada awalnya.

“Setelah kerosakan yang ditinggalkan PH diuruskan dan wabak Covid-19 reda kita harap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan, sepertimana dari awal dimahukan oleh Muafakat Nasional.

“Kita serah pada rakyat, sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini,” tulisnya di Twitter.

Annuar yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan semalam berkata demikian berikutan serangan terhadap PN kerana didakwa membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

'Langkah Sheraton' yang  bermula pada 23 Feb lalu, menyaksikan tumbangnya kerajaan PH, apabila Bersatu yang pernah menjadi komponen PH, bekerjasama dengan BN, PAS, beberapa bekas pemimpin PKR diketuai Azmin Ali. 

Gabungan itu juga disokong oleh GPS bagi membentuk kerajaan baru.

BN dan PAS pada mulanya menyokong pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, namun menarik balik sokongan kerana tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan perdana menteri ketujuh itu.

BN dan PAS kemudian meminta agar pilihan raya mengejut diadakan bagi memilih kerajaan, namun kemudian menyokong presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Muhyiddin mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac, dan mengumumkan kabinetnya dua hari lalu.

'Wirid kerajaan pintu belakang'

Kata Annuar, PH sepatutnya tidak terus menyalahkan orang lain dan sedar akan kesilapan mereka, bukannya terus “berwirid” mengecam orang lain menubuhkan 'kerajaan pintu belakang'.

“Masalah dengan PH, mereka berada dalam sindrom penafian dan blaming others (menyalah orang lain) secara kekal.

“Mereka yang berebut jawatan, mereka yang letak jawatan, mereka yang terjun tingkap dari PH tapi mereka semacam wirid kononnya kerajaan pintu belakang.

“Mereka tidak pernah sedar kesilapan mereka,” tulisnya lagi.

Sebelum ini, krisis dalaman PH menyaksikan PKR dan Bersatu sering berselisih tentang waktu peralihan kuasa antara Mahathir dan presiden PKR Anwar Ibrahim.

Namun mesyuarat Majlis Presiden PH yang terakhir mencapai persetujuan agar Mahathir diberikan ruang sebagai perdana menteri, tanpa syarat.

Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri sehari selepas Langkah Sheraton, kerana tidak bersetuju dengan keputusan partinya menyertai PN.

Sementara itu, dalam penjelasannya kepada pemberita hari ini, Annuar berkata apa yang dimaksudkannya dengan harapan untuk "pintu depan" dibuka segera dan parlimen dibubarkan itu bukanlah dalam waktu terdekat.

Baca Nak buka 'pintu depan' bukan sekarang, kata Annuar

Lihat Komen
ADS