Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nak buka 'pintu depan' bukan sekarang, kata Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, hari ini memberi penjelasan mengenai ciapannya yang menyarankan agar parlimen dibubar untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum diadakan.

Menurut Annuar apa yang dimaksudkannya dengan harapan untuk "pintu depan" dibuka segera dan parlimen dibubarkan itu bukanlah dalam waktu terdekat.

Malah, katanya, ciapan tersebut merupakan respons kepada segelintir pihak yang mahu agar parlimen dibubarkan sebelum Perikatan Nasional (PN) selesai memerintah dan ingin mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Itu adalah respons saya kepada orang yang sekarang ini baru nak cakap soal bubar parlimen, buat undi tidak percaya dalam parlimen.

“Kita kena utamakan rakyat, jadi kita kena berikan peluang kepada perdana menteri dan kabinet untuk melaksanakan tanggungjawab, kita takkan lari mana-mana, kita akan kembali kepada rakyat juga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Annuar menarik perhatian ramai apabila menyebut soal pembubaran parlimen hanya dua hari selepas beliau mengangkat sumpah menjadi menteri.

Sebelum ini ahli parlimen Ketereh itu juga menciap sesuatu yang dianggap menyatakan rasa kecewanya terhadap urusan pembentukan kabinet.

Kembali apabila tiba masanya

Untuk rekod Muhyiddin tidak melantik Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, ke mana-mana portfolio. Pada masa sama Ahmad Zahid sedang dibicarakan dengan 47 tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Annuar ialah setiausaha agung Umno yang dilantik Ahmad Zahid bagi menggantikan Anggota Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor, yang turut sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah.


Baca Umno tak senang bayangan kabinet Muhyiddin?


"Setelah kerosakan yang ditinggalkan PH diuruskan dan wabak Covid-19 reda, kita harap pintu depan segera dibuka dengan parlimen dibubarkan, seperti mana dari awal dimahukan oleh Muafakat Nasional.

“Kita serah pada rakyat, sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini,” ciapnya di Twitter.

Kata Annuar kerajaan PN akan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan mandat seterusnya melalui pilihan raya umum apabila tiba waktunya.

“Itu saya kata, kita harap dapat perbetulkan segala apa yang ditinggalkan PH, selesaikan masalah besar negara dan isu Covid-19.

“Lepas itu, kifa kenalah kembali ke rakyat setelah tiba waktunya untuk pilihan raya kembali,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS