Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan hari ini mengumumkan pelancaran Tabung Covid-19 dengan dana permulaan RM1 juta.

Menurut Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, tabung itu bertujuan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin 14 hari sebelum pulih.

“Kita tidak mahu kehidupan mereka ini terjejas. Jadi ini antara bentuk bantuan ihsan yang kita sampaikan.

“Kalau kita dapat kumpul dana daripada rakyat jelata, apa sahaja kita kumpulkan, akan kita kembalikan kepada mereka yang berhak,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Bagi menzahirkan keprihatinan mereka, barisan jemaah menteri yang menghadiri mesyuarat itu menyumbang ke dalam tabung yang diedarkan pada majlis pelancaran Tabung Covid-19 selepas sidang media berkenaan.

Katanya, semua pihak sama ada orang ramai dan syarikat dipelawa menyumbang kepada tabung berkenaan yang akan diagihkan semula kepada pihak yang memerlukan.

Sementara itu, Bernama memetik Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada satu majlis di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Nilai sebagai berkata melalui tabung itu, wang ihsan sebanyak RM100 sehari akan diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Kutipan tabung Covid-19 yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilancar bagi membantu mereka yang terkesan dengan jangkitan virus itu, iaitu mereka yang menjalani pemantauan di rumah selama 14 hari atau rawatan di hospital ekoran positif Covid-19.

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia kekal 129 kes setakat tengah hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS