Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM sahkan warga M'sia sertai himpunan tabligh positif Covid-19
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 12:10 AM
Dikemaskini: 4:15 PM

Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang lelaki yang menghadiri perhimpunan tabligh di masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur telah disahkan positif Covid-19 di Kuantan.

Acara itu, yang diadakan pada 28 Feb hingga 1 Mac, turut dihadiri seorang warga Brunei berusia 53 tahun yang kemudiannya disahkan positif Covid-19 selepas pulang ke negaranya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berusia 60 tahun itu antara 20 kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini.

"Beliau mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur selama tiga hari.

"Beliau mula mengalami gejala demam, batuk dan selesema pada 4 Mac, dan kemudian mengalami sesak nafas pada 8 Mac dan dimasukkan ke Hospital Bentong pada hari sama. Beliau kemudian telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 9 Mac 2020.

"Ujian pengesanan COVID-19 yang diambil bagi kes ini telah disahkan positif pada 10 Mac. Beliau sudah diasingkan dalam wad isolasi dan sedang menerima rawatan," kata Noor Hisham dalam kenyataan, hari ini.


Baca: Lelaki positif Covid-19 hadir di himpunan tabligh bersama 10,000 orang


Lelaki itu dirujuk sebagai Pesakit 131.

Noor Hisham menggesa sesiapa yang menghadiri perhimpunan Tabligh itu agar segera menghubungi pejabat kesihatan daerah untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Pesuruhjaya Suhakam positif Covid-19

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengesahkan salah seorang anggotanya turut dijangkiti Covid-19.

"Tidak dapat dipastikan sama ada beliau telah dijangkiti pada awal bulan Mac 2020, namun demikian Suhakam telah mengambil langkah untuk mengenal pasti individu-individu yang mempunyai kontak rapat dengan beliau dan mereka dikehendaki untuk mendapatkan ujian sewajarnya," kata Suhakam dalam kenyataan.

Malaysiakini difahamkan individu itu ialah pesuruhjaya Suhakam yang terlibat dalam kehilangan pasangan suami isteri Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy.

Inkuiri itu bermula sejak 2 Mac lalu namun ditangguhkan selepas baru tiga hari berlangsung.

Suhakam memaklumkan ibu pejabatnya di Menara TH Perdana, Kuala Lumpur akan ditutup sehingga 13 Mac, dengan kakitangannya akan bekerja di rumah.

"Semua aktiviti dan program ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak. Suhakam turut bekerjasama dengan pengurusan bangunan TH Perdana dan Kementerian Kesihatan untuk proses disinfeksi premis," kata Suhakam.

Suruhanjaya itu juga menasihatkan mana-mana individu yang melawat premis itu atau berinteraksi dengan kakitangannya sejak 2 Mac agar menjalani pemeriksaan jika mengalami simptom atau kurang sihat, walaupun kemungkinan untuk terdedah dengan virus itu kecil.

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan jumlah positif COvid-19 sebanyak 149 kes, dengan 26 kes sudah dipulihkan.

Lihat Komen
ADS