Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa keseluruhan pasukan pembelaan Najib Razak kini diletakkan di bawah kuarantin rumah berikutan kebimbangan wabak Covid-19.

Ini selepas peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah mempunyai kontak dengan individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Shafee, Noor Farhah Mustaffa kepada hakim Collin Lawrence Sequerah tengah hari ini.

Noor Farhah berkata Shafee mempunyai kontak dengan individu berkenaan ketika kenduri di rumahnya pada Sabtu lepas.

Najib yang dalam perbicaraan kerana tuduhan menggelapkan wang 1MDB, hadir di mahkamah dan berada di kandang tertuduh pada masa itu.

Ketika Noor Farhah bercakap kepada mahkamah hari ini, bangku dan meja pasukan pembelaan dilihat kosong, dengan Shafee juga dilihat tidak berada di mahkamah.

Noor Farhah berkata beliau dimaklumkan bahawa Shafee hanya mendapat tahu bahawa individu ditemuinya mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 pada sekitar jam 12.00 tengah hari ini.

"Shafee dan seluruh pasukan peguam (kes) 1MDB atau keseluruhan pejabat (firma guaman Shafee) diarah menjalani kuarantin oleh pengamal perubatan.

"Kami berjanji memberikan surat (rasmi untuk mengesahkan Shafee dan pasukan pembelaan di bawah kuarantin)," kata Noor Farhah.

Timbalan pendakwa raya yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram (gambar atas) kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa ia merupakan perkara yang serius.

Sri Ram berkata beliau sendiri telah menjalani ujian Covid-19 lebih awal dan didapati negatif, tetapi akan menjalani ujian kedua esok, selepas mempunyai kontak dengan dua peguam yang disyaki mempunyai jangkitan Covid-19.

Sequerah kemudian berkata jangkitan Covid-19 lebih cepat daripada perbicaraan 1MDB di mahkamah, menyebabkan mereka yang hadir di mahkamah tertawa.

Beliau kemudian menangguhkan prosiding sehingga esok, dan mengarahkan Noor Farhah menyediakan dua surat rasmi, satu dari Hospital Sungai Buloh dan satu lagi dari Kementerian Kesihatan, yang mengesahkan Shafee dan pasukan pembelaan dikuarantin.

Surat itu katanya perlu diserahkan kepada mahkamah sekitar jam 9.00 pagi esok.

"Sebelum saya mendapatkan kedua-dua surat itu pagi esok, saya tidak nampak mengapa perbicaraan ini perlu ditangguhkan," kata Sequerah mengingatkan Noor Farhah.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk peguam menyambung pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan kesembilan, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, selepas prosiding terhenti selama empat bulan.

Shahrol telah dipanggil sebagai saksi selama 22 hari dan telah disoal balas oleh pihak pembelaan selama 15 hari.

Najib kini dalam perbicaraan bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berhubung RM2.28 bilion yang didakwa berasal dari 1MDB, melalui Tanore Finance Corporation.

Tanore Finance dikatakan dimiliki oleh Eric Tan - individu yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Lihat Komen
ADS