Dua mengaku salah hina Agong
Dua individu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) Kuala Lumpur hari ini.
Ooi Wei Siong dan Nurhaizad Azhar selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Edwin Paramjothy Michael Muniandy.
Ooi, 37 mengaku bersalah bahawa pada 1 Mac secara sengaja memuat naik posting di Facebook bersifat jelik terhadap Agong dengan niat untuk menganiayai orang lain.
Manakala, Haizad pula seorang peniaga sambilan di atas talian, mengaku bersalah menghina Agong di laman Facebook secara sedar.
Dipercayai kedua-duanya melakukan kesalah tersebut selepas keputusan Agong melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan selepas kemelut politik negara yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
Mereka disabit di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) Akta yang sama yang membawa denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Kedua-duanya juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dan diteruskan selepas pensabitan.
Ooi, yang diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya yang masih bujang kesal dengan tindakan olehnya dan meminta maaf kepada kesemua rakyat Malaysia.
Beliau turut meminta hakim supaya tidak menjatuhkan hukuman penjara, sebaliknya sedia membayar denda.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi berkata bahawa tindakan tertuduh mencetuskan kemarahan rakyat dan hukuman penjara akan menjadi satu pengajaran kepadanya dan juga orang lain.
Haizad yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa beliau telah insaf dan meminta hukuman ringan.
“Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia dan mohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya sedar dengan perbuatan saya ini, dan telah menyesal selama tiga hari semasa di reman. Saya telah padam posting itu dan mohon maaf di media sosial sebelum serah diri secara sukarela kepada polis selepas memahami kesalahan saya.
“Saya begitu tertekan sekali (dengan krisis politik) dan terbawa-bawa memaki Agong.
“Saya harap Yang Arif mengambil kira kesalahan saya yang merupakan kali pertama dan saya perlu menjaga isteri saya yang tidak kerja dan anak saya yang masih sekolah,” katanya.
Hakim kemudian menetapkan 17 Mac untuk membuat keputusan hukuman terhadap Ooi dan 20 Mac bagi kes Haizad.
Kedua-duanya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dan seorang penjamin.
Mereka juga diperintah tidak membuat sebarang hantaran di media sosial berhubung kes ini sehingga ia selesai.
Sementara itu, dalam satu kes lain seorang suri rumah mengaku tidak bersalah menghina agama Islam.
Fadilah Hamid, 43 membuat pengakuan tidak bersalah selepas jurubahasa membaca tuduhan.
Fadilah pada 19 Februari didakwa memuat naik posting yang berunsur menghina Islam serta Nabi Muhammad.
Hakim Edwin kemudian menetapkan 14 April untuk pengurusan kes.
Tertuduh dibenarkan jami RM6,000 dengan seorang penjamin serta diperintah tidak membuat sebarang pautan di media sosial berhubung kes ini.
Fadilah diwakili peguam Nur Sabrina Nasruddin berkata bahawa tertuduh yang mempunyai dua anak mengalami ‘major depressive disorder’.

