Paling Popular
Terkini

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) sekarang hanya mempunyai tiga parti berikutan pengunduran Bersatu daripada gabungan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Dr Mahathir Mohamad masih merupakan pengerusi gabungan berkenaan.

"Kamu kena tanya dia, dia mungkin menukar fikirannya esok," katanya berseloroh tetapi kemudian mengatakan Mahathir bukan lagi merupakan anggota PH.

"Setakat yang saya tahu, apakah kedudukan PH? PH adalah seperti hari ini, seperti yang kita bincangkan pagi ini iaitu Keadilan (PKR), DAP dan Amanah.

"Bersatu dah putuskan beberapa minggu lepas tinggalkan (PH). Tetapi sudah tentu kita masih boleh teruskan perbincangan, termasuk dengan Tun M," katanya kepada media selepas mempengerusikan Majlis Presiden PH awal hari ini.

'Majoriti Melayu sokong saya'

Anwar turut ditanya mengenai kenyataan Mahathir bahawa orang Melayu tidak dapat menerimanya sebagai perdana menteri akan datang.

"Tun M tolak saya, tapi orang Melayu saya belum pasti sebab saya bertanding di semua kawasan majoriti besar orang Melayu sokong saya.

"Di PD (Port Dickson) majoriti besar orang Melayu, lebin 60 percent sokong saya, di Pulau Pinang based-nya Melayu," katanya.

Anwar berkata, kesabarannya kini pada tahap tertinggi namun keutamaan pada masa ini adalah perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kepentingan rakyat.

Mahathir baru-baru ini dilaporkan berkata Anwar 'memang gila-gila' untuk nak menjadi perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau tidak dapat melantik Anwar sebagai timbalannya kerana orang Melayu menolak presiden PKR kerana mendukung falsafah politik liberal.

Mahathir juga tidak muncul pada majlis Pertahan Mandat Rakyat yang dianjurkan oleh PH di Kuala Lumpur pada 9 Mac.

Dalam sidang media hari ini, Anwar berkata PH dan PKR berdiri teguh dalam mempromosikan politik berbilang kaum walaupun ia bermakna beliau akan terlepas peluang untuk menjadi perdana menteri pada masa akan datang.


Lihat Komen
ADS