Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH kecam insiden provokasi terhadap Khalid Samad
Diterbitkan:  Mar 14, 2020 6:11 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mengecam keras insiden melibatkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang berdepan provokasi sekurang-kurangnya 20 individu tidak dikenali malam tadi di Kuala Terengganu.

"(Kami) memohon agar pihak Polis di-Raja Malaysia akan dapat menyiasat segera insiden serta membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu portal The Malaysian Insight memetik senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai berkata bahawa beliau percaya kumpulan tersebut adalah “penyokong sebuah parti politik”.

"Kami patutnya ada majlis di Kuala Terengganu tetapi dibatalkan kerana wabak Covid-19. Kami kemudian memutuskan untuk bersiaran langsung di Facebook di ibu pejabat Amanah untuk membincangkan senario politik semasa.

"Selepas tamat siaran langsung FB selama dua jam itu, kami meninggalkan bangunan Amanah di mana sekurang-kurangnya 15 sehingga 20 lelaki tiba-tiba muncul. 

"Mereka memaki kami tetapi sasaran mereka ialah Khalid Samad," kata Pengerusi Amanah Terengganu itu.

Namun, jelasnya mereka berjaya masuk ke kereta dan memandu terus ke balai polis berhampiran sambil menambah kumpulan lelaki itu turut menunggu Khalid di depan Balai Polis Daerah Kuala Terengganu. 

"Mereka ikut Khalid dan tunggu dia di luar balai polis. Menunjukkan mereka besar kepala. 

"Kami tahu siapa mereka, ada antaranya kami kenal. Mereka menjerit-jerit beritahu kami supaya tak sentuh ‘Tok Guru’ mereka, jadi kami tahu mereka siapa," katanya.

Mangsa tidak dipukul, kata polis

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Khalid membuat laporan polis selepas diprovokasi beberapa individu ketika menghadiri pertemuan bersama ahli PH malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi portal itu mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak dipukul sebagaimana maklumat ditularkan di media sosial hari ini.

Beliau berkata, mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun telah membuat laporan polis kerana terancam dengan tindakan kumpulan berkenaan.

Dalam kenyataannya, Majlis Setiausaha PH mengucapkan terima kasih kepada polis yang telah memberi kerjasama dalam memastikan keselamatan Khalid sehingga beliau tiba di lapangan terbang pagi tadi.

Lihat Komen
ADS