Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan M'kini jadi sasaran perkauman, gangguan di Facebook

Wartawan Malaysiakini Kow Gah Chie telah menjadi sasaran di Facebook berhubung berita yang ditulisnya berkenaan kenyataan Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan pembalakan di Kelantan.

Hantaran Facebook yang diterbitkan pada Khamis lalu itu bertujuan menunjukkan berita tersebut adalah rekaan kerana ia tidak ditanya ketika sidang media Tuan Ibrahim - diadakan sehari sebelumnya - yang turut disiarkan secara atas talian.

Berita itu ditulis daripada 'doorstep' - iaitu apabila wartawan, termasuk daripada Malaysiakini, bercakap dengan menteri selepas sidang media selesai.

Rakaman video pertanyaan itu disiarkan di Kinitv.

 Hantaran Facebook itu, yang mengandungi serangan peribadi terhadap Kow, turut membangkitkan dia sebelum ini bertugas untuk meja berita Bahasa Cina.

Setakat ini, hantaran itu telah dikongsi lebih 2,900 kali dan memiliki lebih 2,200 komen.

Kebanyakan komen bernada perkauman, dengan ada yang memanggil wartawan Malaysiakini sebagai "babi".

Malah ada yang menyatakan dia patut diancam secara fizikal, atau diludah.

 Hantaran itu turut menuduh Malaysiakini sebagai "pemecah belah umat".

Hantaran itu telah dilaporkan kepada Facebook. Bagaimanapun, Facebook menolak laporan itu dengan berkata "ia tidak melanggar apa-apa Piawaian Komuniti".

Standard Komuniti Facebook antara lain menyatakan ia tidak membenarkan ucapan kebencian.

"Kami menakrifkan ucapan kebencian sebagai serangan terus terhadap mana-mana individu berdasarkan apa yang kami gelarkan sebagai karakter dilindungi - kaum, etnik, negara asal, agama, orientasi seks, kasta, jantina, gender, identiti gender dan penyakin serius atau kecacatan," kata laman media sosial itu.

Semakan semula terhadap laporan yang ditolak itu menyebabkan hantaran itu telah dipadam selama beberapa jam.

Bagaimanapun hantaran itu kemudian disiarkan semula dan permintaan untuk semakan seterusnya telah ditolak.

"Pakar dalam pasukan kami menyemak semula gambar itu dan mengesahkan ia tidak melanggar sebarang Standard Komuniti kami, termasuk gangguan dan buli," kata Facebook.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Facebook secara terus sejak Jumaat (13 Mac).

Maria Chin Abdullah

Sementara itu, Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah meminta serangan yang menyasarkan Kow itu dihentikan.

"Sejumlah warganet telah melanggar batasan, termasuk menyebarkan gambarnya, membuat komen rasis, dan mengancamnya,"katanya dalam kenyataan semalam.

Maria berkata tindakan seperti itu boleh dianggap jenayah dan satu serangan terhadap kebebasan media.

Kumpulan Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut mengecam tindakan menyasarkan Kow itu.

"Ancaman dan serangan melalui apa jua bentuk terhadap wartawan tidak dapat diterima," katanya lagi.

"Turut dikesali ialah usaha untuk membuat laporan terhadap individu (yang membuat hantaran itu) kepada Facebook telah ditolak, atas alasan ia tidak melanggar 'standard komuniti'," kata Geramm.

Lihat Komen
ADS