Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya tak mahu dengar orang kata PN kerajaan Melayu Islam'
Diterbitkan:  Mar 15, 2020 12:07 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerajui kerajaan untuk semua rakyat Malaysia.

"Saya tidak mahu dengar selepas ini orang kata, ini kerajaan Melayu Islam.

"Saya di sini untuk sama-sama membantu perdana menteri dan kabinet untuk menggambarkan kemajmukan Malaysia," katanya dalam temu bual dengan Sinar Harian yang diterbitkan hari ini.

"Kita di sini turut memainkan peranan yang penting bagi mencapai kestabilan sosial dan juga kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.," tambahnya.

Wee merupakan satu-satunya wakil rakyat berbangsa Cina dilantik sebagai menteri dalam kabinet Muhyiddin. Tiga dari MCA yang lain dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Wee yang kini merupakan menteri pengangkutan berkata pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin bukan konspirasi atau rampasan kuasa.

"Ini bukan konspirasi. Ini memang percaturan dalaman, mereka (PH) sudah lama bergaduh dan itulah kemuncaknya.

"Daripada perspektif MCA, puncanya ialah parti Amanah dan DAP bersama (Presiden PKR) Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata peranan MCA dalam perkara itu adalah kerana merupakan rakan dalam gabungan BN dan sekutu Muafakat Nasional.

"Apabila ada solidariti dalam pembangkang masa itu, maka kita bagi secara ‘en bloc’ (sokongan) kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri apabila Dr Mahathir sendiri meletak jawatan.

"Jadi kenapa MCA terlibat dengan PN? Kepada saya, ini bukan satu kebetulan tetapi ia adalah kerana kita tahu PH berada dalam keadaan tegang sepanjang 22 bulan yang lalu," katanya.

Wee turut berkata beliau kagum dengan kematangan demokrasi Malaysia apabila peralihan kuasa berlaku tanpa pertumpahan darah.

Jelas Wee, ketika BN kalah pada pilihan raya umum (PRU) 2018, gabungan itu menerima dan menghormati keputusan rakyat.

"Memang hakikatnya rakyat tidak sokong kita (BN), maka kita hormati keputusan rakyat (pada PRU 2018).

"Sebaliknya, apabila orang memberikan mandat kepada PH untuk mereka memerintah, tiba-tiba selepas 22 bulan sistem yang sama juga digunakan iaitu sesiapa yang mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli parlimen, maka beliau akan menjadi perdana menteri dan inilah sistem kita yang tidak perlu dipertikaikan kesahihannya," katanya.

Lihat Komen
ADS