mk-logo
Berita
Tiada perintah berkurung di PPUM, pengarah nafi khabar angin
Diterbitkan:  Mar 15, 2020 5:05 AM
Dikemaskini: 5:05 AM

Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Tunku Zamarul Zaman menafikan khabar angin yang mengatakan ada perintah berkurung di hospital itu.

Tunku Zamarul berkata demikian susulan khabar angin yang disebarkan melalui aplikasi mesej yang mendakwa PPUM telah mengisytiharkan situasi darurat dan terpaksa mengeluarkan perintah berkurung.

"Saya tidak faham mengapa masih ada pihak yang tidak mahu menerima penjelasan saya, iaitu orang yang mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan penutupan perkhidmatan PPUM sekiranya perlu, dan sehingga saat ini, saya jelaskan sekali lagi di sini, tiada sebarang arahan darurat atau penutupan operasi dikeluarkan di PPUM.

"Saya akui benar, terdapat pesakit yang disahkan positif Covid-19 di PPUM sepertimana diumumkan oleh perdana menteri dan terdapat pesakit yang kritikal di PPUM.

"Namun, saya ingin memberi jaminan bahawa semua situasi berada di dalam kawalan dan diuruskan dengan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa kakitangan Malaysiakini turut menerima mesej palsu serupa yang disebut oleh Tunku Zamarul dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Tunku Zamarul berkata penyebaran berita palsu demi sensasi, perhatian dan panik tidak berasas menyebabkan pesakit atau individu berpotensi dijangkiti tidak mendapatkan rawatan secepat mungkin.

"Dengan khabar bahawa PPUM berada di bawah perintah berkurung misalnya, akan menjadi penghalang pesakit untuk datang mendapatkan rawatan.

"Keghairahan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini untuk menagih perhatian dan mencetus keadaan huru-hara inilah yang selalu menjadi penghalang sesuatu usaha rawatan dilaksanakan segera.

"Ini membahayakan bukan sahaja pesakit, malah para petugas perubatan. Penyebar berita palsu ini boleh dianggap penjenayah yang bertanggungjawab menimbulkan ketidaktentuan dan kucar-kacir dalam kalangan rakyat Malaysia. Mereka ini perlu dihentikan," katanya.

Tunku Zamarul menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyebar berita palsu berkenaan melaporkan kepada pihak berkuasa.

Setakat, petang semalam, Malaysia mencatatkan 238 kes jangkitan Covid-19.

Tiada kematian telah direkodkan di Malaysia.

Wabak ini telah meragut sekurang-kurangnya 5,612 nyawa di seluruh dunia.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini