Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UTHM kampus Pagoh ditutup 4 hari untuk proses dekontaminasi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengumumkan penutupan seluruh kampus Pagoh mulai hari ini untuk proses dekontaminasi bagi membendung penularan Covid-19.

Menurut pekeliling rasmi Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly, pihak universiti akan menjalankan proses dekontaminasi secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, seluruh kampus UTHM Cawangan Pagoh akan ditutup bermula 16 Mac sehingga 19 Mac ini bagi memberi ruang kepada proses dekontaminasi untuk diadakan secara menyeluruh dengan baik,” katanya menerusi pekeliling itu yang dimuat naik dalam Facebook rasmi UTHM, tengah malam tadi.

Beliau berkata, penutupan kampus itu akan melibatkan keseluruhan staf akademik dan bukan akademik, kecuali staf pusat kesihatan universiti, pejabat pembangunan dan penyenggaraan serta bahagian keselamatan dan kolej kediaman.

Tambah beliau, proses kuarantin dan saringan akan terus berjalan mengikut tatacara sedia ada dan penempatan mereka yang terlibat akan dikekalkan sehingga sebarang keputusan hasil daripada proses saringan diperoleh.

“Semua staf akademik dan pentadbiran dibenarkan untuk bekerja dari rumah dan staf tidak perlu merekod kehadiran keluar masuk di kampus.

"Rekod kehadiran bagi kesemua staf yang terlibat akan dikemas kini secara automatik oleh pejabat pendaftar,” kata Wahid.

Beliau berharap agar semua pihak sentiasa mematuhi langkah pencegahan bagi mengelak penularan Covid-19 daripada berleluasa.

Semalam, UTHM mengesahkan seorang petugas universiti itu positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru.

- Bernama

Lihat Komen
ADS