Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Fahmi Fazli merayu dalam keadaan penularan pandemik Covid-19, agar kerajaan Perikatan Nasional tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas orang ramai yang mungkin terkesan seperi menghadapi kesukaran membayar sewa rumah, bil air dan elektrik dan sebagainya.

Katanya, akibat terjangkit atau pengasingan sendiri (self-quarantine), tempat kerja ditutup, dan ekonomi yang lembap menyaksikan ramai yang berdepan masalah kewangan.

“Oleh itu, dalam keadaan yang khusus dan belum pernah kita lalui ini, saya pohon pertimbangan serius kerajaan dan juga agensi-agensi berikut agar tidak memotong perkhidmatan atau dikenakan tindakan penguatkuasaan atas sebab kegagalan membayar tunggakan, setidak-tidaknya sehingga keadaan Covid-19 disahkan reda,” katanya.

Fahmi seterusnya menyenaraikan perkhidmatan dan agensi itu di Facebooknya.

• sewa PPR & Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur;

• sewa peniaga unit-unit kedai DBKL;

• bil elektrik Tenaga Nasional Berhad;

• bil air Air Selangor;

• bil Indah Water Konsortium Sdn Bhd;

• bil Telekom Malaysia & unifi;

• tunggakan Tekun Nasional;

• tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); dan

• agensi lain berkaitan.

“Kita perlu bersama dalam mengatasi wabak Covid-19 ini. Saya percaya, dengan meringankan beban yang dipikul rakyat, dan dengan tahap kesiapsiagaan jentera yang mencukupi, Malaysia mampu bangkit semula.

“Saya juga ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada para doktor, jururawat dan semua yang berada di barisan paling hadapan dalam menangani virus ini. Andalah benteng dan hero,” katanya.

Semalam, Malaysia mencatatkan kenaikan tertinggi dalam tempoh sehari dalam kes Covid-19, iaitu sebanyak 190 kes baru, menjadikan jumlahnya sebanyak 428 kes.