Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M mahu pertahan jawatan pengerusi untuk 'selamatkan Bersatu'

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan mahu mempertahankan jawatan pengerusi Bersatu.

Dalam kenyataan di Facebook, bekas perdana menteri itu merujuk dirinya sebagai ahli nombor satu Bersatu dan berkata langkah berkenaan diambil bagi menyelamatkan partinya.

"Saya Dr Mahathir, ahli nombor satu Bersatu dan pengasas parti ini.

"Saya menawarkan diri saya untuk bertanding sebagai pengerusi untuk selamatkan Bersatu yang kini sebahagian pemimpinnya berkerjasama dengan kleptokrat dan Umno untuk mendiri kerajaan dari pintu belakang.

"Sertailah perjuangan kami untuk mengembalikan parti kita ke jalan yang benar," katanya.

Kenyataan itu turut disertakan dengan gambar beliau semasa mendaftarkan diri sebagai ahli nombor satu Bersatu.

Hari ini, Dr Mahathir menghantar borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan tertinggi parti itu melalui Ketua Bahagian Bersatu Selayang, Zulkifli Mohamad di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya hari ini.

Borang itu diserahkan pada kira-kira jam 1.40 tengah hari tadi.

Sementara itu, Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan presiden melalui setiausaha politiknya.

Perkembangan ini dilihat akan mengakhiri desas-desus yang menyatakan Muhyiddin mungkin bertanding bagi jawatan yang disandang Mahathir.

Pergeseran dua pemimpin Bersatu itu ekoran 'Langkah Sheraton' bulan lalu, yang menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, sementara Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin seterusnya diangkat sebagai perdana menteri kelapan menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu BN, PAS dan GPS.

Muhyiddin sebelum ini juga mendakwa beliau merupakan pemangku jawatan pengerusi Bersatu selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan.


Lihat Komen
ADS