story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar gesa PM tangguh aktiviti politik Bersatu
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 4:27 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menangguhkan segala aktiviti politik Bersatu dan gabungannya bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada krisis Covid-19.

Dalam kenyataannya, Anwar berkata krisis yang dialami dunia ketika ini mirip krisis kewangan Asia 1997.

Sehubungan dengan itu, anggota parlimen Port Dickson berkenaan berkata keputusan yang tegas dan sukar mesti dibuat segera oleh kerajaan pada hari ini.

"Saya menggesa Perdana Menteri untuk menangguhkan segala gerak politik Bersatu dan gabungannya bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada krisis yang kini sedang menjejaskan warga.

"Kesemua petanda ini mirip kepada Krisis Kewangan Asia 1997 di mana saya memainkan peranan sebagai Menteri Kewangan mengemudi negara mendepani krisis tersebut.

"Keputusan yang tegas dan sukar mesti dibuat segera oleh kerajaan hari ini," kata Anwar.

Selain itu, Anwar turut melahirkan kebimbangannya dengan keadaan politik semasa serta kurang tindakan segera daripada Kabinet dalam mendepani krisis kesihatan dan ekonomi.

"Saya gusar dan bimbang melihat muslihat politik masih menjadi rencana utama tatkala kerajaan terbeban dengan penularan wabak ini.

"Negara-negara jiran sedang dan telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam membendung risiko Covid-19. Sebaliknya saya merasakan kurangnya tindakan segera, fokus dan ketegasan Kabinet baru dalam mendepani krisis kesihatan dan ekonomi kini," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Jaafar Albar memberitahu pemilihan parti berkenaan akan ditunda sehingga Jun.

Lihat Komen
ADS