Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hamid Albar: Mahathir menang tanpa tanding, saya tak boleh umum

Dr Mahathir Mohamad adalah satu-satunya calon yang menghantar borang untuk bertanding jawatan pengerusi Bersatu.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Albar dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya hari ini.

Ketika ditanya apakah itu bermakna bekas perdana menteri itu menang tanpa bertanding, Syed Hamid berkata dia tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perkara berkenaan.

“Menang tanpa bertanding itu, saya tak boleh umum, sampailah tarikh persidangan bahagian ditetapkan nanti.

“Dia punya pencalonan kita terima, tiada calon lain,” katanya.

Semua pencalonan bagi merebut sebarang jawatan dalam parti itu ditutup pada jam 3 petang, hari ini.

Mahathir pada 24 Februari lalu meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu selepas Muhyiddin Yassin yang juga adalah presiden mengumumkan parti itu  keluar meninggalkan Pakatan Harapan (PH). Mahathir kemudiannya meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Satu mesyuarat parti yang dipengerusikan oleh Muhyiddin kemudian menolak perletakan jawatannya pada malam yang sama dan meyakinkannya untuk terus berkhidmat pada hari berikutnya, yang dipersetujui beliau.

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya dalam kenyataan rasmi pada 27 Februari mengumumkan bahawa Mahathir akan terus menjadi pengerusi Bersatu.

Muhyiddin mahu Mahathir menerajui kerajaan baru tetapi apabila Mahathir enggan kerana tidak mahu bekerjasama dengan Umno, beliau merampas jawatan pengerusi dengan menolak pelantikan semula Mahathir dan mengumumkan jawatan itu sebagai kosong.

Oleh itu, beliau mengambil alih jawatan sebagai pengerusi yang menghalang Mahathir daripada bertindak ke atasnya.

Muhyiddin kemudiannya menjadi perdana menteri pada 1 Mac.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Hamid memaklumkan persidangan bahagian yang sepatutnya diadakan serentak pada 18 April ini di seluruh negara bagi memilih majlis pimpinan tertinggi (MPT) akan ditangguhkan ekoran larangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terhadap sebarang perhimpunan.

Bagaimanapun, tarikh baru persidangan bahagian itu akan diputuskan kemudian oleh MPT.

Menurutnya lagi, calon dibenarkan menarik diri sebelum persidangan bahagian itu dijadual berlangsung nanti.

Selain MPT, mesyuarat agung yang sepatutnya dijadual 25 hingga 28 Jun juga ditangguhkan.

Terdahulu, dalam kenyataan berasingan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengeluarkan arahan melarang semua persatuan daripada mengadakan sebarang program, aktiviti, persidangan, perhimpunan atau mesyuarat agung hingga 30 Jun depan.

Jelas ROS, arahan khas itu dibuat sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966 bagi setiap peringkat pertubuhan, termasuk cawangan.


Lihat Komen
ADS