mk-logo
Berita
'Usaha sedang dirangka bantu pekerja M'sia tinggal sementara di Singapura'
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 1:19 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Susulan larangan untuk warga Malaysia ke luar negara, Singapura sedang mencari jalan untuk menempatkan pekerja Malaysia yang sebelum ini berulang-alik dari Johor ke negara itu.

Ia diumumkan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini, selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin.

"Warga Malaysia yang tinggal di Johor dan bekerja di Singapura perlu mematuhi perintah itu. Ini akan menghalang mereka untuk berulang-alik setiap hari, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

"Maka kami sedang merangka langkah dengan syarikat-syarikat (di Singapura) bagi membantu pekerja Malaysia tinggal di Singapura buat sementara, jika mereka ingin berbuat demikian," katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebooknya.

Lee dan Muhyiddin juga memutuskan untuk melantik Menteri Pertahanan Ismail Sabri dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Singapura Teo Chee Hean untuk koordinasi langkah mitigasi kedua-dua negara.

 Kira-kira 300,000 warga Malaysia yang berulang-alik setiap hari dari Johor ke Singapura atas sebab kerja.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan warga Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja, tidak lagi boleh berbuat demikian mulai esok hingga 31 Mac ini.

Menurut Lee, Muhyiddin memberi jaminan bahawa pengangkutan kargo, termasuk makanan, antara Malaysia dan Singapura tidak akan dihalang sepanjang tempoh kawalan pergerakan.

Boleh tinggal dengan saudara, kawan

Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia Singapura menasihatkan syarikat untuk menggelakkan pekerja yang terkesan dengan perintah itu untuk tinggal dengan saudara, kawan atau rakan sekerja sebagai langkah sementara.

"Bagi pekerja yang tidak boleh tinggal dengan saudara, kawan atau rakan sekerja, kerajaan (Singapura) telah bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk menyediakan pilihan penginapan jangka pendek.

"Kerajaan juga akan bekerjasama dengan penyedia dormitori/hotel untuk menyediakan penginapan kos rendah.

"Objektif kami untuk meminimumkan apa-apa kesan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada warga," kata kementerian itu dalam kenyataan.

Lee Hsien Loong

Kata Kementerian Sumber Manusia Singapura lagi, kerajaan negara itu sedang mencari jalan untuk memberikan bantuan kewangan terhadap syarikat yang perlu menyediakan penginapan kepada pekerja mereka yang terkesan dengan kadar segera.

"Kami menasihati majikan untuk menilai keperluan sumber manusia mereka dengan cermat dan membuat keputusan sama ada pekerja mereka yang terkesan perlu kekal di Singapura.

"Dalam memberi bantuan, kami akan mengutamakan keperluan syarikat yang memberikan perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, keselamatan, pembersihan, pengurusan sisa, pengurusan kemudahan, lojistik dan pengangkutan," kata kementerian itu.

Sementara itu, Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing berkata, agensi kerajaan dan persatuan perdagangan akan menawarkan bantuan kepada syarikat untuk menyediakan penginapan kepada pekerja yang terkesan.

Katanya lagi, Singapura ada pelan luar jangka jika berdepan masalah dalam pembekalan makanan dari Malaysia.

"Kami telah menyediakan pelan yang berkesan untuk menguruskan keadaan ini dan akan terus menilai semula strategi kami, untuk memastikan warga Singapura mendapat bekalan makanan dan keperluan lain," katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, antara lain:

  • Larangan terhadap semua perhimpunan termasuk kegiatan keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
  • Semua premis perniagaan ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
  • Warga dilarang ke luar negara, manakala mereka yang kembali dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.
  • Sekatan kemasukan terhadap pelancong dan pelawat asing.
  • Penutupan semua sekolah dan institut pengajian di setiap peringkat.
  • Penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
Lihat Komen
ADS