Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) meminta Putrajaya mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) fasa kedua kerana berpendapat Perintah Kawalan Pergerakan akan memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Setiausaha Agung AT, Kumarajah berkata PRE2020 yang diumumkan oleh bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad sebelum ini tidak mengambil kira gelombang kedua Covid-19.

"Sejak penularan Covid-19, KDNK (Keluaran Dalam Negara Dasar) telah pun memberi impak tanpa perintah kawalan sebanyak 4.9% daripada 11 sub sektor seperti hotel, pelancongan, restoran. Ini tidak termasuk impak tidak langsung 15.2% kepada KDNK daripada 52 sub sektor kerana Covid-19.

"Mengambil kira situasi ekonomi negara selepas penularan Covid-19, saya berpendapat bahawa kita mesti ada satu pakej rangsangan ekonomi yang baru yang merangkumi 2P iaitu Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) dan pekerja," katanya kepada Malaysiakini.

Kumarajah berkata pakej itu sebagai contoh perlu memberi kelonggaran kepada pembayaran kad kredit, kereta, pinjaman rumah dan sebagainya.

"Buat masa ini pihak bank hanya memberi 'deferment' (penangguhan) kepada pembayar pinjaman yang mempunyai rekod baik sahaja. Ia mesti dipanjangkan kepada pembayar yang menghadapi masalah pembayaran," katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga mencadangkan kerajaan menangguhkan projek atau program yang tidak lagi perlu seperti program tahun melawat Malaysia2020.

"Selain itu, tumpuan khusus perlu diberikan kepada PKS dalam PRE2020 yang kedua. Ini kerana industri PKS tidak menghadapi pemberhentian kerja dalam skala besar seperti syarikat-syarikat besar di negara kita.

"Bermakna industri PKS lebih bertanggungjawab walaupun menghadapi kemelesatan ekonomi. Tapi, kena faham juga berapa lama mereka boleh tahan tanpa sokongan kuat daripada kerajaan? Maka, perlu ada pakej perangsangan yang khusus untuk mereka," katanya.

Semalam, Mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Muhyiddin mengumumkan empat langkah tambahan bagi memperkukuhkan PRE 2020.

Ini termasuk bantuan kewangan bagi membantu pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, diskaun caj elektrik, pembayaran awal Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pelaksanaan projek-projek kecil PRE2020 yang berjumlah RM20 bilion.

Sementara itu, Kumarajah berkata MAICCI akan bekerjasama dengan kerajaan walaupun pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan akan memberi kesan besar kepada usahawan tempatan.

"Perintah kawalan dua minggu sangat panjang. Malaysia sangat bergantung kepada sektor servis, jadi kesannya mesti sangat tinggi.

"MAICCI yang mewakili 36,000 entiti perniagaan daripada pelbagai akan berkerjasama dengan kerajaan. Kita tidak tahu sampai bila masalah Covid-19 ini berpanjangan.

"Namun, kami sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk tangani Covid-19. Keutamaan lebih kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Dalam pada itu Persatuan Pengusaha Restoran India, Malaysia (Primas) meminta kerajaan mengadakan perbincangan dengan pihak pengusaha restoran di Malaysia yang terjejas akibat Covid-19.

Presidennya, T Muthusamy berkata perniagaan restoran di Malaysia telah terjejas sejak awal Februari.

"Memang Perintah Kawalan ini beri kesan besar kepada kami. Namun, sebenarnya kami telah menghadapi masalah sejak Februari selepas wabak Covid-19 dikesan di Malaysia.

"Bukan sahaja restoran India, malah restoran Melayu dan Cina turut menghadapi nasib yang sama. Dan kami meramal isu ini akan berpanjangan walaupun perintah kawalan ini akan ditamatkan pada 31 Mac ini," katanya yang mahukan perbincangan dengan pihak kerajaan.

Antara permintaan dibangkitkan adalah bayaran percuma levi kepada pekerja asing di restoran bagi tahun ini, diskaun bil elektrik dan air dan juga pinjaman perniagaan dari bank dengan kadar faedah yang rendah.