Pejuang kesatuan sekerja veteran yang tersohor GV (Jiwi) Kathiah meninggal dunia semalam pada usia 82 tahun.

Beliau juga adalah editor MalaysiaIndru (Malaysiakini versi bahasa Tamil) dan portal Sembaruthi.com selama 13 tahun meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Bandar Country Homes, Rawang.

Mendiang dikenali sebagai antara ahli kesatuan sekerja veteran paling lantang di negara ini, dan pernah bertanding di pilihan raya umum sebanyak tiga kali.

Lahir di Batu Arang, Selangor pada tahun 1938, Jiwi memulakan pendidikan awal di Sekolah Tamil Batu Arang sebelum melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Buckingham, Universiti Warwick dan Universiti London di United Kingdom.

Penglibatan bersama kesatuan sekerja khususnya dalam sektor perladangan bermula pada awal 1960-an dengan dirinya antara individu penting menubuhkan All Malayan Estates Staff Union (AMESU) pada tahun 1964 sebelum dilantik sebagai setiausaha agung kesatuan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Makaysiakini Premesh Chandran berkata bahawa nama Jiwi akan sentiasa diingati.

"Selepas bertahun menjadi ahli kesatuan sekerja di sektor perladangan, beliau menjadi editor Malaysiakini versi bahasa Tamil pada tahun 2008. Beliau mula mempelajari bagaimana untuk mengemudi laman web digital pada usia 70an.

"Jiwi, tidak boleh menerima ketidakadilan. Beliau menentang penindasan terhadap pekerja oleh syarikat dan kezaliman ke atas rakyat oleh kerajaan.

"Dia sentiasa bersama mereka yang tertindas dan merasai keperitan mereka. Dia bercakap tentang hari-hari di mana rakyat miskin akan dibebaskan daripada rantai (kezaliman), dan akhirnya mendapat keadilan serta menikmati kekayaan dunia secara saksama," katanya.

Tambah Premesh, Jiwi juga sentiasa mempunyai cerita-cerita menarik mengenai sejarah rakyat yang ditindas.

"Setiap kali saya berjumpa dengannya di pejabat, dia akan bermula ‘Prem, tahukah kamu bahawa... (kemudian) dia akan menceritakan kejadian sejarah itu.

“Cerita-ceritanya akan selalu mengingatkan kita, bahawa kita mesti berdiri bersama dengan mereka yang tertindas dan terpinggir,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PSM S Arutchelvan memberitahu bahawa Jiwi merupakan seorang ahli sesatuan pekerja tidak pernah mengenali istilah takut.

"Seorang yang ikhlas dalam mempertahankan golongan pekerja. Seorang pejuang kesatuan yang sebenar.

"Pengenalan pertama saya tentang lelaki ini adalah apabila saya diberitahu bahawa dia pernah berdiri di atas meja supaya pendapatnya dapat diketengahkan kepada majikan - mungkin MAPA (Persatuan Pengeluar Pertanian Malaysia).

"Saya ketawa dan orang itu beritahu saya, itu cerita betul, bukan jenaka. Selepas mengenali Jiwi, saya mula mempercayai cerita itu.

“Dia penuh semangat ketika bercakap tentang kelas pekerja atau membela mereka," katanya.

Mendiang Jiwi akan disempurnakan di krematorium Hindu Kampung Tunku, Petaling Jaya, pada 19 Mac.