Alhamdulillah, keputusan negatif, kata Asyraf Wajdi
Keputusan ujian saringan Coronavirus atau Covid-19 Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menunjukkan keputusan negatif.
Ahli Parlimen Pasir Puteh secara sukarela menjalani ujian berkenaan selepas menyedari dirinya mempunyai kontak rapat dengan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii, yang disahkan positif pada satu majlis wacana.
“Alhamdulillah, menerima keputusan ujian saringan Coronavirus (Covid-19) awal pagi ini yang menunjukkan keputusan negatif.
“Memang mendebarkan kerana terima telefon daripada pihak Hospital pukul 1 pagi waktu saya sudah tidur.
“Bangun pukul 5.30 pagi, menyedari ada miss call daripada hospital, terus sahaja saya telefon dan dimaklumkan keputusan ujian saringan,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Asyraf berkata dia keluarganya terus berada di bawah kuarantin di rumah sejajar dengan perintah kawalan pergerakan dua minggu yang diumumkan oleh kerajaan sehingga 31 Mac.
Asyraf bersama Yii hadir bersama pada forum 12 Mac lalu.

Yii disahkan positif dengan Covid-19 pada 17 Mac, dan ini mendorong Asyraf untuk menjalani ujian saringan pada hari yang sama.
Yii dikatakan ada berhubungan dengan ahli parlimen Sarikei Wong Ling Biu, yang telah diuji sebagai positif.

