Terjemahan Berbaik-baik semula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim - suatu yang tidak mungkin dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Dr Mahathir jika beliau "berdamai" dengan Anwar, itu akan menunjukkan seolah-olah segala dakwaannya terhadap bekas timbalannya itu selama ini tidak betul.

Anwar yang disingkirkan oleh Dr Mahathir daripada kerajaan dan Umno pada tahun 1998 dan kemudiannya didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan liwat dan rasuah, selama ini mendakwa dirinya menjadi mangsa konspirasi politik.

"Jika saya berbaik-baik semula dengan Anwar, orang akan mentafsir segala kepercayaan saya terhadap salahlaku Anwar adalah silap, mereka akan merumuskan sebenar tiada apa-apa yang berlaku, mereka akan menyangka saya yang bersalah, saya membuat keputusan yang silap," kata tokoh yang berusia 82 tahun itu dalam satu wawancara dengan malaysiakini minggu lalu.

"Saya yakin segala salahlaku itu berlaku, itu sebabnya saya buat keputusan itu, biarlah apa orang nak kata," tambahnya..

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan Anwar tidak menggantikannya kerana segala dakwaan homoseksual terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah menjadikannya tidak sesuai untuk mengetuai negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga menolak dakwaan yang mengatakan persaingan peribadi antara mereka berdua menyebabkan berlakunya penyingkiran Anwar dari kerajaan dan parti.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak pernah membiarkan pertimbangan seperti itu menguasai keputusannnya.

"Jika saya percaya seseorang itu tidak sesuai, saya perlu membuat keputusan walaupun dia sahabat atau saudara mara saya, tiada bezanya," katanya.

Beliau juga enggan mengakui telah melakukan kesilapan dalam menangani halehwal Perwaja Steel Bhd.

Perwaja - pengeluar besi waja ditubuhkan pada tahun 1980an untuk menjadi tulang belakang proses perindustrian negara ini.

Ketika operasinya ditutup pada tahun lalu, syarikat tersebut mengalami kerugian sehingga RM1 billion.

"Apa yang berlaku pada Perwaja bukan satu kesilapan....saya tidak dapat buat apa-apa jika pengurusannya tidak tahu menguruskan syarikat," ujar beliau.

Berhubung perlantikan Tan Sri Eric Chia, sebagai Pengarah Urusan Perwaja yang kemudiannnya didakwa di mahkamah pada Februari 2004 atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM76.4 juta, Dr Mahathir berkata: "Semasa perlantikan itu dibuat tiada siapa memberitahu saya ia satu kesilapan."

"Dia begitu berjaya di UMW. Dia dipilih berdasarkan rekod cemerlangnya. Tapi apa yang dilakukannya selepas itu saya tidak tahu, saya tidak mampu mengawal setiap orang," tambahnya.

Hak mengkritik

Menyentuh tentang kelantangan menteri kabinet mengkritiknya berhubung isu jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau berhak untuk menyatakan pendapatnya.

"Saya rasa saya berhak untuk mengkritik dan mereka perlu menjawab perkara yang saya bangkitkan. Jangan hanya mengatakan saya jahat dan tak perlu dilayan. Apa jawapan Nazri terhadap perkara-perkara yang saya bangkitkan? Katakan di mana saya tersilap?" tekan beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz adalah antara pemimpin negara yang paling lantang mengkritik Dr Mahathir berhubung isu jambatan baru di Selat Tebrau itu.

Nazri telah menuduh Dr Mahathir membuat tuduhan-tuduhan yang tidak bertanggungjawab dan mahu menggugat kerajaan. Beliau juga mendakwa Dr Mahathir membuat keputusan untuk membina jambatan berkenaan tanpa berunding dengan kabinbet.

Sambil menafikan semua kritikannya bertujuan menggugat kerajaan sekarang, bekas Presiden Umno itu menegaskan, kritikan diperlukan bagi mengekalkan demokrasi.

"Kalau saya melakukan kesilapan dan tiada siapa menegur saya, akhirnya parti akan menjadi alat peribadi untuk melakukan apa yang saya sukai," kata Dr Mahathir lagi.

Bekas Perdana Menteri yang kini menjadi Penasihat Petronas itu juga ditanya apakah rancangan televisyen yang paling disukai sepanjang hidupnya.

" Eight is Enough...." katanya. Program sitkom keluarga yang berkisar tentang seorang ayah bersama lapan orang anaknya itu disiarkan di RTM selama lima musim pada hujung tahun 1970an hingga awal 1980an. Berita asal

Bahagian 2: Dr M: Anak-anak PM tidak boleh ada perniagaan dengan k'jaan

Q & A: Kritikan saya membina, kata Mahathir

Q & A: Saya kecewa, kata Mahathir

Bahagian 1: Dr M: Adakalanya Pak Lah tersilap langkah