Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 yang bakal berlangsung pada 23 Mac ini akan diteruskan namun dipendekkan tempohnya.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Yahaya Ali berkata persidangan yang ditetapkan selama empat hari itu dipinda dengan hanya mengambil masa setengah hari sahaja iaitu pada Isnin, 23 Mac serta dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa melibatkan ketua-ketua jabatan serta barisan pemerhati.

Katanya persidangan itu juga akan dimulakan tanpa istiadat pembukaan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainan Abidin seperti tahun-tahun sebelumnya bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

"Menurut Perkara 16 (1), Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap Dewan, Yang Dipertua DUN mempunyai kuasa untuk menetapkan tertib pekerjaan dewan mengikut pertimbangan beliau. Yang Mulia Tuanku As-Sultan Mizan Zainal Abidin juga tidak akan berangkat ke persidangan DUN, tetapi baginda akan menghantar perutusan bertulis kepada ADUN-ADUN yang bakal bersidang.

"Hal ini dibolehkan menurut Peraturan 37 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS