Catuan air di Melaka diteruskan hingga 31 Mac
Catuan bekalan air di Zon 1 dan 2 di Melaka yang dijadual berakhir Ahad ini dilanjutkan mulai Isnin ini hingga 31 Mac ini, menurut Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) hari ini.
Zon1 melibatkan kawasan tertentu dalam daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan sebahagian kawasan Jasin serta Zon 2 adalah di kawasan tertentu dalam daerah Alor Gajah.
SAMB, dalam kenyataan, memaklumkan bekalan air di Zon 1 dihentikan mulai jam 10 pagi sebelum dibekalkan semula pada jam 10 pagi keesokannya manakala Zon 2 dihentikan pada jam 5 petang sebelum dibekalkan semula pada jam 5 petang pada hari berikutnya.
"Program Bekalan Air Berjadual SAMB sentiasa tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa dan pengguna dinasihatkan agar menyimpan bekalan air secukupnya ketika bekalan air dibuka pada hari yang dijadualkan selain berjimat dan elakkan pembaziran.
"Pengguna juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat sahih dan tepat melalui akaun Facebook dan Twitter rasmi SAMB, Facebook rasmi Kerajaan Negeri Melaka serta media-media rasmi," menurut kenyataan tersebut.
- Bernama

