Peniaga lapor polis dua kilang masih beroperasi
Seorang peniaga hari ini membuat laporan polis terhadap dua kilang elektronik selepas didakwa mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan apabila masih meneruskan operasi dengan jumlah tenaga kerja yang besar.
S Umaparan, 38 membuat laporan tersebut di Balai Polis Sg Siput (U) bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kedua-dua kilang tersebut yang masing-masing beroperasi di Jelapang dan Chemor, Perak.
"Saya telah menghubungi pejabat pengurusan dan saya diberitahu mereka menuruti arahan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Mereka kata kilang mereka masih boleh beroperasi berdasarkan pekeliling MITI yang menyatakan pihak syarikat masih boleh meneruskan operasi jikalau syarikat itu mengeluarkan produk 'essential goods' (barang keperluan)," katanya ketika menghubungi Malaysiakini.
Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan jawapan kilang berkenaan kerana mereka hanya mengeluarkan barangan elektronik.
Pada masa sama katanya, kilang-kilang berkenaan juga menggunakan jumlah tenaga kerja yang besar.
"Jumlah tenaga kerja kedua-dua kilang itu adalah lebih kurang 5,000. Kalau pun mengambil kira hanya 2,500 sahaja berkerja, ia masih jumlah yang tinggi dan jelas terpesong dengan matlamat kerajaan untuk membendung Covid-19.
"Jadi, rakyat Malaysia ingin tahu adakah Kementerian Sumber Manusia tidak serius dalam memantau kilang-kilang seperti ini? Atau pihak pengurusan penyalahgunakan kebenaran yang diberi dengan menggunakan tenaga kerja yang besar," katanya.
"Sekiranya, operasi kilang-kilang yang menghasilkan barang bukan keperluan dibenarkan, bagaimana kerajaan nak merealisasikan matlamat membendung penularan wabak Covid-19 dengan strategi sosial distancing," tambahnya lagi.
Pada 16 Mac Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac.
Susulan pengumuman tersebut, MITI berkata syarikat-syarikat yang membekalkan barangan keperluan akan dibenarkan terus beroperasi dengan skala kecil iaitu dengan mengurangkan 50 peratus tenaga kerja.

