Adun gesa KKM jelaskan status jualan 'kit ujian Covid-19' oleh MyEG
Kementerian Kesihatan digesa menjelaskan status penjualan “kit ujian covid-19” di laman sesawang perkhidmatan kerajaan, MyEG.
Adun Perling, Cheo Yee How berkata ini kerana Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan penjualan produk itu dalam portal MyEG adalah palsu, namun sehingga kini siaran penjualan itu masih wujud.
"Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan perlu membuat penjelasan terhadap status kelulusan “rapid covid-19 testing kit” secara terperinci untuk kepentingan dan keselamatan orang awam.
"Hal ini kerana jika orang awam yang kurang fasih dengan pengendali peralatan ini salah baca peralatan tersebut dan tidak mendapat nasihat pengendali perubatan, penularan wabak Covid-19 ini kemungkinan besar menjadi lebih serius," jelasnya dalam satu kenyataan.
Kit ujian itu dipaparkan di laman web rasmi MyEG, ditawarkan pada harga RM99 setiap unit, atau RM990 untuk satu set.
Beliau menegaskan bahawa perkembangan terkini juga menunjukkan "kit ujian” itu dikatakan masih lagi dalam peringkat percubaan oleh pengendali-pengendali perubatan.
Cheo, oleh itu, menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia, untuk menyiasat perkara itu.
Selain itu beliau juga menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap MyEG jika didapati menyalahi undang-undang untuk memberi keuntungan kepada pihak tertentu.
MyEG semalam berkata, kit ujian berkenaan telah dilulsukan oleh pihak berkuasa China dan Eropah serta hanya menunggu kelulusan daripada KKM sebelum ia boleh dijual.
“Ia masih menunggu persijilan daripada Kementerian Kesihatan pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu berkata kit itu bertujuan sebagai satu pilihan mudah untuk sesiapa sahaja melakukan ujian pengesanan awal Covid-19 di kalangan rakyat Malaysia.

