Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan pertimbang ketatkan perintah kawalan pergerakan esok
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 9:54 PM
Dikemaskini: 4:24 PM

Kemaskini 11.20pm Kerajaan akan mempertimbangkan mengetatkan perintah kawalan pergerakan bermula esok, sekiranya gagal mencatatkan jumlah penurunan kes Covid-19, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

"Untuk flatten the curve (ratakan graf) kita wujudkan perintah yang telah kita keluarkan, iaitu perintah kawalan pergerakan. 

"Ini pun perlukan compliant (pematuhan) daripada masyarakat, kalau mereka tak compliant seperti mana yang kita tahu seperti semalam 40 peratus tidak compliant.

"Hari ini akan diketahui (peratus pematuhan) esok. Sekiranya masih tak mengurang, masih ada yang degil, kita mesti ambil tindakan tegas melalui akta sedia ada. 

"Iaitu mereka boleh ditangkap atau didenda RM1000 atau dipenjarakan tak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya dalam temu bual eksklusif di TV1, hari ini.

'Mungkin perlukan perintah berkurung'

Pada program temu bual berasingan selepas itu, beliau berkata Malaysia mungkin memerlukan perintah berkurung (lockdown) serupa dengan apa yang dikenakan di Wuhan, China jika kes Covid-19 naik mendadak.

"Negara China tak membangunkan vaksin awal. Apa yg dia buat, dia buat total lockdown. Total lockdown maknanya warganegara tak boleh langsung keluar dari rumah.

"Kita patut ikut macam tu. Tapi pertama kita kena beri kesedaran dulu. Selagi kita boleh contain, (buat) containment (pembendungan)," katanya.

Beliau menegaskan keperluan menurunkan graf jangkitan dan mengatakan semua langkah perlu dipertimbangkan.

"Saya tengok data ini nampak dah macam mula flatten. Kalau ia 100, 100, 100 ia flatten la.

"Tapi kalau ia 100, naik 200, naik 300, naik 400 itu panggil (graf) menegak. Itu bahaya.

"Saya cakap terus terang dari hati yang bersih ini, kita kena sekat rangkaian penularan wabak ini," katanya.

Malaysia mencatatkan 110 kes jangkitan baru Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 900 kes.

Ini adalah hari kelima berturut-turut negara menyaksikan lebih daripada seratus kes baru dalam sehari.

Sejak 15 Mac, kes membabitkan Covid-19 meningkat sebanyak 190; 125; 120; 117; dan 110 hari ini.

Lihat Komen
ADS