Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Umum pakej rangsangan ekonomi kedua sebelum terlambat'
Diterbitkan:  Mar 20, 2020 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar menggesa kerajaan untuk memulakan pakej rangsangan ekonomi kedua bagi menangani wabak Covid-19, selain menggantung kegiatan urus niaga dagangan di Bursa Malaysia.

"Dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, nampaknya kerajaan hari ini, walaupun bermesyuarat harian, tetap perlahan dalam melaksanakan langkah-langkah penting yang diperlukan untuk membendung kejatuhan ekonomi.

"Mereka telah memutuskan untuk mengambil sikap tunggu dan lihat sementara pasaran saham kita akan mengalami kejatuhan mendadak.

"Pada masa ini, sangat jelas keadaan sekarang bukan disebabkan oleh asas-asas yang lemah tetapi kemerosotan sistematik dalam tinjauan ekonomi global," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam keadaan sedemikian, Xavier berkata beliau bimbang pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan pada 27 Feb oleh perdana menteri interim ketika itu, Dr Mahathir Mohamad tidak akan mencukupi untuk meredakan kesan daripada wabak Covid-19.

Oleh itu, beliau telah membuat beberapa cadangan kepada kerajaan baru yang disifatkan lebih berkesan.

Xavier juga mencadangkan kerajaan menggunakan perbendaharaan negara untuk membantu memantapkan pasaran, mempertimbangkan untuk mendapatkan pinjaman kadar faedah yang rendah seperti bon samurai atau panda, memanfaatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional bagi menyuntik dana ke dalam pasaran saham.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan sistem sokongan untuk majikan dan pekerja, terutama bagi kumpulan B40 dan peniaga kecil serta sederhana.

Selain itu, tambah Xavier, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan dana gabungan untuk membantu membiayai keperluan ekonomi, melibatkan korporat dan peruncitan.

Xavier berkata asas-asas ekonomi Malaysia masih kukuh meskipun menghadapi cabaran global sekarang.

"Saya yakin bahawa syarikat-syarikat yang mempunyai modal besar akan dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam masa-masa yang kritikal dan mencabar ini.

"Lakukan sekarang sebelum terlambat," katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa 18 Mac hingga 31 Mac, dalam cubaan untuk membendung wabak Covid-19.

Malaysia kini mencatat 900 kes Covid-19 dengan dua kematian.

Lihat Komen
ADS