Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail berkata beliau akan memberi penjelasan kepada Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai statusnya yang tidak muflis dan perintah mahkamah Rabu lalu, yang membenarkan pengekalan penangguhan pelaksanaan muflis terhadapnya.

Katanya, beliau perlu menulis surat kepada Perdana Menteri mengenai perkara tersebut, memandangkan Abdullah juga adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang.

Abdullah kini berada di luar negara dan Ahmad berkata, beliau telah berbincang dengan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan dinasihatkan supaya menghantar salinan perintah mahkamah itu kepada Badan Pengurusan Umno Pusat.

Beliau memberitahu pemberita di Pulau Pinang semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad juga memaklumkan kepadanya bahawa mesyuarat Badan Pengurusan Umno semalam turut turut membincangkan perkara itu.

"Selepas saya memaklumkan kepada Datuk Radzi mengenai perintah mahkamah Rabu lalu, beliau yang juga seorang peguam, menasihatkan saya supaya mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan keadaan sebenarnya kepada pihak media bahawa saya tidak muflis," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Radzi dua hari lalu bahawa beliau telah terlucut semua jawatan parti, Ahmad berkata, kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon Isnin lalu yang mengatakan beliau (Ahmad) diisytiharkan muflis dan dilucutkan jawatan sebagai anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) secara automatik.

Menurut laporan Bernama, Ahmad berkata, Radzi berpuashati dengan penjelasan beliau mengenai perintah mahkamah yang dikeluarkan Rabu lalu.

Perjalanan parti

Ahmad berkata, perbincangannya dengan Najib, Radzi dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Ali Rustam mengenai perkara itu bukanlah bertujuan untuk mengadu mengenai kedudukannya dalam Umno tetapi kerana mereka merupakan pemimpin yang prihatin dan sentiasa memastikan perjalanan parti dengan baik.

Mengenai kedudukannya sebagai ahli MPPP, Ahmad berkata beliau tidak perlu dilantik semula atau perlu mengangkat sumpah sekali lagi bagi memegang jawatan itu memandangkan dari segi perundangan, beliau sebenarnya tidak digugurkan daripada jawatan itu.

Katanya, walaupun masih lagi ahli MPPP, beliau tidak akan menghadiri mesyuarat penuh MPPP Jumaat ini memandangkan beliau yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah memohon untuk bercuti mulai hari semalam (Khamis) hingga 13 Jun ini bagi menghadiri beberapa pertandingan sepaktakraw di Indonesia dan di luar negara.

Mengikut undang-undang, katanya, beliau sebenarnya tidak muflis, tidak dilucutkan daripada jawatan sebagai ahli MPPP dan tidak perlu mengangkat sumpah semula bagi memegang jawatan itu.

Mengenai keputusan kerajaan negeri yang akan merujuk semula kepada Jabatan Insolvensi bagi membersihkan segera namanya, Ahmad berkata, isu menunggu surat daripada jabatan tersebut tidak timbul sama sekali.

"Tidak ada apa-apa untuk dibersihkan. Saya bukan bankrap. Saya sudah dapat perintah mahkamah, perkara itu sudah jelas," katanya.

Khamis lalu, Koh berkata berdasarkan keputusan yang dikeluarkan mahkamah Rabu dan salinannya diterima kerajaan negeri, Jabatan Insolvensi perlu memberi keutamaan kepada kes itu supaya kerajaan negeri dapat mengadakan mesyuarat segera bagi menentukan kedudukan Ahmad sebagai anggota MPPP.