Konflik antara 'orang lama' dan 'orang baru' dalam Umno Terengganu yang sedang berlaku sekarang dijangka menimbulkan pertandingan sengit dalam pemilihan bahagian Umno negeri itu tahun depan.

Menurut sumber, pertandingan sengit mungkin tidak dapat dielakkan antara kedua-dua kumpulan ini jika tiada kompromi dicapai.

"Kecuali bagi bahagian Besut yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, bahagian lain akan menyaksikan pertandingan sengit bagi semua jawatan penting,"ramal sumber itu.

Tentangan terhadap kepimpinan Idris dikatakan datang dari beberapa bahagian yang masih diterajui oleh pemimpin-pemimpin veteran seperti di bahagian Marang, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Umno bahagian Marang diketuai oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, Hulu Terengganu diterajui oleh bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Putera Awang dan bahagian Kemaman dikepalai oleh ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Ahmad Said.

Ketiga-tiga mereka merupakan muka lama sejak era bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Menurut sumber itu lagi, mereka masih mempunyai pengaruh di kalangan ahli Umno Terengganu terutamanya di bahagian masing-masing.

Muka-muka baru yang menerajui bahagian Umno negeri itu kini ialah Datuk Razali Ismail di Kuala Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan di Dungun, Mohd Jidin Shafie di Setiu dan Datuk Nasir Ibrahim di Kuala Nerus.

Pengaruh akar umbi

Menurut sumber itu lagi, pengaruh orang lama di kawasan yang diterajui oleh muka-muka baru itu masih kuat. Pengaruh bekas Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Tengku Mahmud Mansur dikatakan masih kukuh di Setiu dan Datuk Roslan Awang Chik masih mendapat sokongan kuat di Kuala Terengganu.

Pengaruh Datuk Abdul Rashid Ngah di Kuala Nerus juga dikatakan tidak boleh diperkecilkan.

Katanya, persaingan di antara orang lama dan orang baru ini menyebabkan wujudnya puak-puak di kalangan ahli Umno di kawasan terbabit.

"Jika orang lama lawan orang baru ia sudah pasti sengit kerana orang lama masih kuat pengaruhnya di peringkat akar umbi.

"Bibit-bibit kempen dan persaingan antara orang lama dan orang baru ini sudah mula kelihatan sekarang kerana pemilihan cawangan dan bahagian dijadual berlangsung tahun depan." katanya lagi.

Seorang sumber lain yang mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan badan perhubungan Umno negeri pula berkata, pemimpin dan penyokong orang lama sudah mula membandingkan kepimpinan Wan Mokhtar dengan Idris dan pemimpin muda lain.

Menurutnya, sebahagian penyokong dan pemimpin berkenaan berpendapat Wan Mokhtar banyak berjasa kepada pembangunan negeri Terengganu sedangkan Idris hanya menumpukan pembangunan di kawasan Besut.

"Idris juga didakwa banyak mengenepikan orang lama dalam menerajui Umno di peringkat bahagian termasuk pemilihan wakil rakyat dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan Umno negeri," katanya lagi.