Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasaran Getah Malaysia dijangka lengang minggu depan

Pasaran Getah Malaysia dijangka akan menyaksikan dagangan yang lengang pada minggu hadapan, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu memberikan tekanan ke atas komoditi tersebut.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata pasaran tempatan akan mengalami kadar turun naik yang agak tinggi memandangkan pergerakan orang dan perniagaan yang terhad.

"Walaupun akta yang berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga akhir bulan ini adalah perlu untuk membendung penyebaran wabak Covid-19, harga dan permintaan akan cenderung ke bawah," katanya kepada Bernama.

Pada Khamis lepas, MARGMA menggesa kerajaan untuk membenarkan industri sarung tangan getah berjalan pada kapasiti penuh semasa tempoh perintah kawalan.

Majlis Keselamatan Negara telah mengenakan beberapa syarat untuk pengilang yang dibenarkan beroperasi, seperti pengurangan bilangan pekerja di peringkat operasi sekurang-kurangnya separuh.

Jumlah kes yang disahkan dalam negara telah mencecah paras 1,000. Semalam, 130 kes baharu Covid-19 dilaporkan, meningkatkan angka kepada 1,030.

Menurut Low, harga penutup yang rendah pada Khamis dan Jumaat, dengan harga rujukan SMR 20 jatuh ke tahap yang paling rendah sejak Disember 2018, akan merangsang harga untuk menjadi lebih rendah pada minggu akan datang.

"Sentimen adalah lemah dan permintaan akan berkurangan disebabkan keadaan ekonomi global yang menjadi agak pasif, terutama di negara perindustrian seperti China dan Jerman," tambahnya lagi.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran getah diniagakan kebanyakannya lebih rendah atau bercampur-campur, menjejaki prestasi pasaran serantau yang lemah serta pelebaran kerugian dalam komoditi global termasuk pasaran ekuiti, berikutan kebimbangan terhadap kegawatan ekonomi yang berpunca daripada Covid-19.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga fizikal Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 jatuh 24 sen kepada 515.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 11 sen kepada 424.50 sen sekilogram.

- Bernama

Lihat Komen
ADS