Sekurang-kurangnya tiga ahli gereja Damansara Utama Methodist (DUMC) di Petaling Jaya dijangkiti Covid-19, menurut satu laporan berita.

The Star Online, memetik pekeliling yang dikeluarkan gereja berkenan kepada ahli-ahlinya, melaporkan gereja berkenaan mengingatkan ahli-ahlinya di Kuala Lumpur tentang wabak berkenaan.

Mereka telah menjalani kuarantin diri dan sampel diambil untuk ujian pengesanan Covid-19.

"Ia (pekeliling itu) berkata gereja itu- salah satu yang terbesar di negara ini - sedang membantu Kementerian Kesihatan mengesan mereka yang mungkin mempunyai kontak dengan ketiga-tiga mereka baru-baru ini," kata laporan itu.

Meskipun laporan berita berkenaan menyiarkan nama individu terbabit, Malaysiakini merahsiakan identiti mereka kerana isu privasi memandangkan pekeliling berkenaan hanya untuk ahli dan bukan untuk orang ramai.

Menurut pekeliling berkenaan, paderi DUMC, Dr Daniel Ho juga menyampaikan mesej mengenai Covid-19, dan menggesa ahli-ahlinya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membendung penyebaran virus berkenaan.

"Kita berhadapan hari ini dengan cabaran global belum pernah terjadi sebelumnya di mana bukan sahaja ramai dijangkiti oleh Covid-19, tetapi juga ramai yang telah kehilangan orang tersayang dan sedihnya angka itu masih meningkat.

"Ramai profesional kesihatan di Malaysia dan di seluruh dunia berada di bawah tekanan besar untuk menghadapi tugas dan tanggungjawab besar mereka. Ahli keluarga mereka juga telah berkorban dan membayar harga yang tinggi.

"Sebahagian daripada mereka ini membayar dengan nyawa mereka dalam menjalankan tugas mereka di barisan hadapan. Sektor kerajaan, perniagaan dan masyarakat berjuang menghadapi bencana ini.

"Kos ditanggung ekonomi dan manusia sukar dibayangkan dan ia menakutkan untuk memikirkan akhirnya nanti," katanya memohon ahli gereja berkenaan supaya berdoa dan memberikan kerjasama.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan merekodkan sejumlah 1,030 kes positif Covid-19 di seluruh negara, dengan tiga kematian.

Kerajaan sedang berusaha membendung penyebaran koronavirus ini dengan menguatkuasakan perintah pergerakan kawalan selama 14 hari bermula 18 Mac.