Sarawak tutup sempadan, terhadkan operasi kemasukan dari Brunei, Kalimantan
Sarawak telah menutup semua pos kawalan di sempadannya sementara kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) yang mengawal kemasukan dari Brunei dan Kalimantan akan beroperasi pada waktu yang terhad.
CIQ antara Sarawak dan Brunei, iaitu Sungai Tujuh, Tedungan, Pandaruan dan Mengkalap akan dibuka dari 6 pagi hingga 8 malam.
CIQ antara Sarawak dan Kalimantan, iaitu Tebedu, Biawak dan Lubok Antu, akan dibuka antara pukul 9 pagi hingga 3 petang, kata kerajaan negeri.
Ini adalah sebahagian daripada langkah diambil kerajaan negeri berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara yang bermula dari 18 hingga 31 Mac.
Kerajaan negeri berkata ia telah mengerahkan tentera untuk menguatkuasakan PKP di kawasan sempadan dan kawasan luar bandar.
Di bawah PKP, tiada warga asing dibenarkan memasuki Malaysia manakala rakyat Malaysia tidak boleh meninggalkan negara ini. Warganegara yang pulang dari luar negara mesti melakukan kuarantin diri selama 14 hari.
Bagaimanapun, Sarawak mempunyai hak untuk menetapkan dasar imigresennya sendiri.
Dalam pada itu, kerajaan negeri berkata akan bekerjasama dengan hospital swasta untuk untuk meningkatkan kapasiti pemeriksaan dan ujian Covid-19.
Setakat 20 Mac, negeri itu mencatatkan 51 kes Covid-19, termasuk satu kematian melibatkan seorang pastor dari Kuching, David Cheng.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Sarikei Wong Bing Liu juga diuji positif Covid-19 dan masing-masing kini dirawat di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sibu.
Kluster terbesar kes melibatkan mereka yang menghadiri acara tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 3 Mac.
Kes pertama Brunei adalah seorang lelaki yang menghadiri acara tabligh, dengan perjalananya melalui Miri, Sarawak.
Kerajaan menyatakan setakat ini, titik panas Covid-19 adalah Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.

