Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu memecah 'tradisi' dalam pemilihan pucuk pimpinan MIC bulan depan apabila tidak mengemukakan senarai 'calon pilihan Presiden' bagi 23 jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat MIC.

Selama ini, sejak mengambil alih pucuk pimpinan MIC pada 1989, Presiden MIC itu telah memulakan satu tradisi untuk mengemukakan senarai calon pilihannya untuk jawatan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 23 jawatankuasa kerja pusat, sebelum pemilihan parti itu berlangsung.

Bagaimanapun 'tradisi' mengemukakan 'calon pilihan Presiden' bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dikekalkan. Samy Vellu telah mengumumkan Datuk G. Palanivel sebagai 'orangnya' bagi jawatan nombor dua parti itu bagi menyaingi penyandangnya, Datuk S. Subramaniam.

Bagai jawatan Naib-Presiden, beliau menyenaraikan Datuk S. Veerasingham, Datuk S. Sothinathan dan Tan Sri K. S. Nijhar sebagai calon pilihannya. Pemilihan parti itu akan diadakan pada 24 Jun ini.

Menurut laporan Bernama, 'calon-calon pilihan' untuk jawatan Naib Presiden itu bakal ditentang tiga pencabar iaitu veteran MIC Datuk M. Muthupalaniappan, ketua MIC Kuala Lumpur Datuk V. K. K. Theagarajan dan E. Yohevel dari Negeri Sembilan.

"Mereka yang ingin bertanding jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat bebas untuk berbuat demikian. Saya tidak ingin mengawal sesiapa... Saya memberikan mereka kebebasan untuk bertanding. Saya tidak akan mengemukakan senarai calon pilihan kali ini... sebelum ini saya sering mengemukakan senarai seperti itu tetapi tidak kali ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat MIC di ibu pejabat parti di KUala Lumpur semalam.

Samy Vellu berkata para perwakilan ke perhimpunan agung MIC mengenali calon-calon anggota jawatankuasa kerja pusat dan terpulanglah kepada mereka untuk membuat pilihan.

"Jika anda merasakan bahawa perlu ada perubahan di kalangan anggota jawatankuasa kerja pusat, maka tukarlah orangnya... saya serahkan semuanya kepada para perwakilan untuk menentukan jawatankuasa kerja pusat," tambahnya.

Samy Vellu juga berkata perhimpunan agung tahunan MIC ini juga akan menyaksikan pindaan kepada perlembagaan parti itu bagi memasukkan Puteri MIC.

"Selepas pindaan itu, Ketua Puteri dan exco sayap itu akan dipilih... pada masa ini kami yang melantik Ketua Puteri dan para exconya. Sayap itu juga akan mempunyai seorang wakil dalam jawatankuasa kerja pusat MIC. Semua ini akan diadakan selepas pindaan perlembagaan MIC," katanya.

Mengenai perbahasan di perhimpunan agung itu, beliau berkata MIC akan membentangkan 10 resolusi yang menyentuh pelbagai isu seperti Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ekuiti kaum India, penyertaan kaum India dalam sektor awam, perpaduan nasional dan sekolah Tamil.