Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedai makan, serbaneka di Selangor mesti tutup 12 malam hingga 6 pagi
Diterbitkan:  Mar 21, 2020 3:06 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Restoran, warung dan kedai serbaneka di Selangor hanya dibenarkan beroperasi setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Semasa mengumumkan langkah itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata perkara tersebut dilakukan sebagai tindakan tambahan kepada perintah kawalan pergerakan yangi dilaksanakan kerajaan persekutuan bermula 18 Mac lalu.

“Kerajaan negeri sangat memandang serius akan kegagalan segelintir masyarakat yang masih mengabaikan arahan duduk di rumah selain dari keperluan kritikal yang telah digariskan.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri melalui penyelarasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor akan menguatkuasakan tindakan-tindakan yang digariskan pada kadar serta merta.

“Arahan-arahan ini berkuat kuasa sehingga 31 Mac 2020 sebagaimana ditetapkan melalui perintah kawalan pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat penyelarasan Selangor Gempur Covid-19 bersama PBT dan pegawai daerah Selangor.

Menurut perintah kawalan berkenaan, trak saji (food truck), pasar tani dan pasar malam antara sektor perkhidmatan yang tidak dibenarkan untuk beroperasi.

Selain itu, pasar awam dan pasar borong pula dibenarkan beroperasi mulai jam 5 pagi sehingga 4 petang saja dengan bilangan pembeli dari sesebuah keluarga dihadkan.

Bagi pasar raya pula, ia dibenarkan buka sehingga tengah malam. Bagaimanapun, premis tersebut perlu mengikut perintah kawalan pergerakan untuk hanya membuka bahagian peruncitan makanan sahaja.

Sementara itu, perintah kawalan terbabit turut menjelaskan bahawa perkhidmatan pembaikan kereta dan alat ganti dibenarkan buka bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang.

Bagi perkhidmatan menunda kereta, tiada ketetapan masa dibuat.

Tidak ketinggalan, semua perkhidmatan dobi dan pusat cucian kereta tidak dibenarkan beroperasi.

Semalam, kes positif Covid-19 di Malaysia melepasi angka seribu, apabila Kementerian Kesihatan mengumumkan 130 kes positif Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,030 kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS