Sebagai langkah menangani penularan wabak Covid-19, kerajaan Sabah mengeluarkan beberapa larangan baru hari ini termasuk perintah kuarantin 14 hari di pusat kuarantin bagi semua individu dari luar negara yang masuk secara terus ke negeri itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong berkata selaras dengan keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara semalam, kerajaan Sabah akan melaksanakan arahan tersebut bermula esok hingga 31 Mac.
Katanya arahan berkenaan terpakai untuk semua individu yang memasuki Sabah melalui udara, laut, sungai dan darat.
“Selain itu, arahan dikeluarkan untuk penutupan operasi jeti penumpang awam antara daerah.
“Kerajaan negeri memutuskan supaya operasi jeti penumpang awam antara daerah di Kudat, Sipitang, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau ditutup mulai 22 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 kecuali bagi kes-kes kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan supaya semua daerah mengenakan sekatan jalan raya dengan serta-merta.
“Setakat ini, hanya 17 daerah telah melakukan sekatan jalan raya untuk mengurangkan pergerakan kenderaan yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.
- Bernama
