Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Penghuni PPR diberi pengecualian sewa sebulan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengumumkan pengecualian sewa untuk satu bulan kepada lebih 9,000 penghuni unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah pengurusan kementerian itu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan, berkata ia dibuat untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan.

PPR yang terlibat termasuk PPR Sentul Murni, Rumah Transit Bukit Jalil, PPR Lembah Subang 1, PPR Lembah Subang 2, PPR Kg Hassan Hulu Selangor, PPR Ladang Siliau Port Dickson, PPR Tok Suboh, PPR Amanjaya, PPR Kota Setar, PPR Sinar Intan 3, PPR Gua Musang, PPR Kota Bahru.

Sementara itu, Zuraida turut menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan budi bicara masing-masing untuk memberi pengecualian sewa premis PBT kepada peniaga kecil yang terjejas kerana terpaksa menutup perniagaan susulan pelaksanaan perintah tersebut.

Beliau menggesa PBT memastikan semua pasar raya dan kedai runcit mengamalkan jarakan sosial, menyediakan cecair pembasmi kuman di laluan masuk dan keluar serta kerap membersihkan pemegang troli dan bakul barangan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19.

KPKT menerusi PBT juga akan berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memantau dan memastikan pusat jagaan warga emas swasta mempunyai bekalan bahan keperluan yang mencukupi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS