Penyokong Barisan Nasional (BN) membuat dua laporan polis yang mendakwa berlakunya penyalahgunaan oleh sesetengah pekerja dan penyokong calon bebas yang bertanding bagi kerusi Ngemah dalam pilihanraya negeri Sarawak Sabtu lalu.

Kerusi Ngemah menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan dimenangi oleh calon bebas Gabriel Adit Demong. Beliau menewaskan calon BN Alexander Vincent dan Richard Lias dari SNAP.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kanowit ASP Bujang Zainuddin. Katanya, laporan pertama, yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 26(1)(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan dibuat pada jam 1.15 tengah hari 20 Mei lalu.

"Pengadu, seorang penyokong calon BN, telah mendakwa, penyokong calon bebas menjalankan kempen politik di rumah panjang di Nanga Tada di Kanowit sehingga jam 3 pagi pada 19 Mei lalu, dan telah melepasi masa yang dibenarkan di bawah undang-undang dan peraturan pilihanraya.

Katanya, laporan kedua, di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dibuat oleh pekerja kempen BN pada jam 12 tengahari, Ahad lalu.

Dalam laporannya, pekerja kempen BN itu mendakwa, semasa beliau memandu di Jalan Senibong di kawasan itu pada kira-kira jam 3.20 petang 19 Mei lalu, beliau dihalang dan dihampiri dua individu yang mengancam untuk mencederakannya jika beliau terus berkempen untuk calon BN.

'Ada bukti'

"Kita masih menyiasat dua kes itu dan mengambil kenyataan daripada beberapa saksi. Apabila selesai menyiasat, kita akan kemukakan laporan kita kepada pihak berkuasa tertinggi," kata ASP Bujang,

Adit, 55, bekas penyandang kerusi selama tiga penggal, menang dengan majoriti 549 undi selepas beliau memperolehi 2,582 undi. Alexander pula mendapat 2,033 undi manakala Richard, 47, hanya memperolehi 341 undi.

Alexander, 44, memberitahu Bernama selepas pilihanraya itu bahawa beliau tidak berpuas hati dengan taktik gengster yang didakwanya digunakan oleh penyokong Adit.

Beliau mendakwa, tindakan itu telah menakut-nakuutkan pekerjanya dua hari sebelum pilihanraya itu, yang mengekorinya ke mana-mana sahaja dia pergi.

"Kita terpaksa membatalkan beberapa jadual kempen di kawasan seperti Bawan dan Nanga Tada kerana bimbang dengan keselamatan kita," katanya.

Alexander, bekas pegawai kanan Jabatan Perhutanan berkata, beliau mempunyai bukti kukuh mengenai insiden tersebut.