Bekas perdana menteri, Najib Razak, menggesa syarikat insurans dan agensi perubatan swasta yang berada di bawah skim insurans MySalam tampil menanggung kos pemeriksaan Covid-19.

Beliau berkata mereka harus menanggung kos penuh atau sekurang-kurangnya berkongsi dengan kerajaan untuk memastikan orang ramai boleh mendapatkan ujian percuma.

"Saya tidak bersetuju kumpulan B40 dan M40 dibiarkan menanggung kos ujian dengan membayar syarikat swasta yang dilantik," katanya dalam posting Facebook hari ini.

"Sekiranya kos sebenar (bukan apa yang dikenakan) untuk menguji seseorang ialah RM100, maka jika satu juta orang mendapat ujian, jumlah kos RM100 juta, jauh lebih rendah daripada RM400 juta yang dibayar kerajaan untuk MySalam setiap tahun.

"Kita tidak mahu orang ramai tidak mahu diuji kerana bimbang untuk membayarnya," kata ahli parlimen Pekan itu lagi.

Najib berkata MySalam sudah mempunyai akses kepada pangkalan data B40 dan M40, jadi meliputi kos ujian tidak seharusnya menjadi isu utama.

Skim MySalam mempunyai premium RM2 bilion dan ia dibiayai oleh syarikat insurans Great Eastern Life.

Sementara itu, Najib semalam merayu orang ramai yang menghadiri majlis perhimpunan tabligh di Seri Petaling, Kuala Lumpur, akhir bulan lepas, untuk tampil mendapatkan ujian untuk Covid-19.

"Walaupun anda tidak berasa sakit atau tidak mempunyai gejala Covid-19 sama sekali, ini tidak bermakna anda bukan risiko kepada orang lain.

"Ini kerana tidak semua orang akan sakit, atau hanya mengalami gejala kecil walaupun anda dijangkiti," katanya.

Sekurang-kurangnya tiga orang yang berkait dengan para peserta perhimpunan ini telah meninggal dunia akibat virus itu.