Terjemahan Selepas dua bulan 'berihat', penyokong demonstrasi membantah kenaikan harga minyak akan kembali semula Ahad ini dengan agenda tambahan membantah kenaikan 12 peratus tarif elektrik yang diumum dua hari lalu.

"Kenaikan tarif elektrik itu berkaitan rapat dengan kenaikan harga minyak," kata Dr Hatta Ramli, jurucakap 'Protes' gabungan parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah kenaikan harga minyak.

"Kenaikan tarif elektrik itu berpunca daripada kenaikan harga minyak dan sejak itu ia dijadikan alasan utama bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menjustifikasi kenaikan itu secara langsung atau tidak langsung," katanya yang juga Bendahari PAS pusat.

Mac lalu, kerajaan telah menaikkan harga minyak antara 18.5 peratus hingga 23 peratus. Peratusan itu adalah yang tertinggi pernah dinaikkan. Ekoran itu, harga minyak petrol dan diesel masing-masing naik 30 sen menjadi RM1.92 selitar (petrol) dan RM1.58 selitar (diesel).

Pihak penganjur tersebut mensasarkan 2,000 penyokong menyertai demonstrasi tersebut Ahad ini, jam 10 pagi bertempat di Menara Berkembar Petronas. Pemimpin parti pembangkang dan NGO akan berucap manakala sekumpulan remaja akan mempersembahkan sebuah sketsa.

Antara mereka yang dijangka berucap ialah Dr Hatta sendiri, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali serta pemimpin dari DAP dan NGO terbabit.

Bantahan terakhir

Dr Hatta mengingatkan kerajaan supaya jangan memandang ringan perkara tersebut, sepertimana yang terbukti dalam keputusan pilihanraya negeri Sarawak Sabtu lalu, di mana pengundi di kawasan bandar beralih menyokong pembangkang kerana marah dengan kenaikan harga minyak.

"Jumlah mereka yang menghadiri (demonstrasi itu) tidak semestinya mencerminkan keadaan sebenarnya. Rakyat marah dan bantahan ini adalah untuk mengingatkan mereka tentang kenaikan harga minyak dan akhirnya rakyat akan membuat pilihan seperti dalam pilihanraya negeri Sarawak," katanya.

Dr Hatta menjelaskan demikian ketika ditanya mengenai tidak ramai yang menyertai bantahan-bantahan yang diadakan di Kuala Lumpur sebelum ini. Mereka juga terpaksa berdepan dengan tindakan polis termasuk ditangkap atau ditembak dengan meriam air.

Beliau juga menjelaskan, pihak penganjur memilih untuk mengadakan bantahan tersebut Ahad ini (28 Mei) kerana ia adalah bulan ketiga aniversari pengumuman kerajaan menaikkan harga minyak pada 28 Februari lalu.

"Bantahan Ahad ini akan menjadi kemuncaknya dan yang terakhir dalam siri bantahan terhadap kenaikan harga minyak. Selepas ini, kami akan mengambil pendekatan yang berlainan untuk terus mendidik rakyat mengenai dua isu tersebut," tambahnya. Berita asal