Peserta himpunan tabligh dari PJ dikesan, polis sedia bawa buat ujian
Polis Petaling Jaya hari ini berkata pihak mereka telah menerima maklumat mengenai identiti para peserta perhimpunan tabligh Sri Petaling yang berasal dari daerah itu.
Ketua Polis Daerah, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka bersedia untuk membantu Kementerian Kesihatan dalam membawa individu terlibat untuk pemeriksaan Covid-19.
"Ya, ada beberapa di Petaling Jaya.
"Kami telah dimaklumkan (mengenai peserta), dan kami bersedia membantu KKM dalam menghampiri ahli-ahli tabligh ini," katanya kepada pemberita di Taman Dato Harun, Petaling Jaya hari ini.
Nik Ezanee sebelum itu menghadiri majlis menyambut pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang dikerahkan hari ini untuk membantu polis daerah dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, apabila ditanya jumlah peserta yang telah dikesan di Petaling Jaya, pegawai itu berkata dia tidak boleh mendedahkan maklumat tersebut.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob sekali lagi membuat rayuan kepada peserta perhimpunan berkenaan yang belum menjalani ujian saringan Covid-19 untuk melakukannya secepat mungkin.
Beliau juga mengulangi amaran bahawa polis telah mengenal pasti mereka yang masih belum tampil.
Pihak berkuasa kesihatan menganggarkan bahawa perhimpunan yang diadakan di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac itu dihadiri oleh kira-kira 16,000 orang termasuk warga asing.
Angka ini bagaimanapun dipertikaikan oleh beberapa pemimpin tabligh yang mendakwa bahawa jumlahnya tidak tinggi, dan sekitar 12,500.
Enam daripada 10 kematian akibat Covid-19 setakat ini mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan tabligh itu.

