Biji-Biji perlukan sumbangan buat perisai muka petugas Covid-19
Memandangkan lebih ramai ditugaskan sebagai anggota barisan depan di hospital bagi menangani wabak Covid-19, sebuah syarikat tempatan mengambil langkah memastikan kumpulan terbabit kekal dilindungi daripada virus tersebut.
Sebuah kumpulan yang bertujuan untuk memberi inspirasi mengenai penyelesaian kreatif, Biji-Biji Initiative (Biji-Biji), melancarkan projek untuk menghasilkan perisai muka (protective face shield) bagi kumpulan barisan depan Covid-19.
Projek itu dilancarkan sebagai sebahagian daripada usaha menangani kekurangan penutup hidung dan mulut di pasaran, termasuk untuk kegunaan kumpulan barisan depan di hospital serta kemudahan kesihatan lain.
"Disebabkan kekurangan sut perlindungan, kami kini bekerjasama dengan sekumpulan sukarelawan, pereka dan kumpulan 3D Printing Malaysia bagi menghasilkan perisai muka untuk pasukan barisan depan Covid-19.
"Kami amat memerlukan bahan-bahan berkaitan untuk membuatnya," kata kumpulan itu di Facebook hari ini.
Item yang disenaraikan termasuk lembaran akrilik (4mm atau 8mm), plastik transparen bersaiz A4 (0.2mm), filamen PLA, getah elastik (yang digunakan untuk jahitan), span dan gam.
Jika berminat untuk menyumbang, orang ramai boleh menghubungi Biji-Biji melalui laman Facebook mereka [ di sini ].
Sebelum ini, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kekurangan penutup hidung dan mulut di pasaran, selain kegunaan untuk doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain.
Susulan itu, Menteri Kanan, Fadillah Yusof, semalam mengumumkan bahawa 10 juta penutup hidung dan mulut akan dibawa dari China secara berperingkat-peringkat dengan keutamaan diberikan kepada petugas barisan depan.

