Jabatan Kesihatan Kelantan menafikan berita kematian pakar Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu akibat Covid-19.

"Berita kematian pakar ICU HRPZII yang disahkan mendapat jangkitan Covid-19 yang ditularkan adalah palsu," kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zaini Husin dalam satu kenyataan hari ini

Zaini turut menafikan khabar angin bahawa perkhidmatan klinikal Jabatan Anestesiologi HRPZII lumpuh dan diisytiharkan 'red flag'.

Beliau berkata perkhidmatan klinikal di bawah Jabatan Anestesiologi masih berjalan selaras dengan arahan Kementerian Kesihatan dan kawalan pergerakan oleh kerajaan bagi membendung penularan Covid-19.

"Semua pakar dan pegawai perubatan Jabatan Anestesiologi yang merawat pesakit Covid-19 di Hospital Raja Perempuan Zainab II kota Bharu telah dibekalkan dengan alatan PPE (Pakaian Perlindungan Peribadi) termasuk PAPR (Powered air-purifying respirator) yang baru dan berfungsi.

"Mereka juga telah mendapat latihan penggunaan PPE dan PAPR secukupnya," katanya.