Kerajaan negeri Johor mengumumkan tempoh operasi premis perniagaan dipendekkan mulai hari ini bermula 7.00 pagi sehingga 7.00 malam bagi membantu kelancaraan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung wabak Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata justeru itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu membuat ketetapan tempoh operasi perniagaan di kawasan masing-masing.
Katanya, sebagai panduan tempoh operasi bermula 7.00 pagi sehingga 7.00 malam itu melibatkan premis perniagaan kedai makan, kedai runcit, stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam.
Pasar raya juga diarah tutup pada 7.00 malam sementara pasar malam, pasar tani dan pasar pagi tidak dibenarkan beroperasi.
“Peniaga dan orang ramai diminta merujuk kepada arahan PBT di kawasan masing-masing bagi waktu operasi yang akan digunakan,” katanya menerusi siaran langsung dalam laman Facebook Darul Ta’zim, hari ini.
“Dengan penguatkuasaan had waktu operasi perniagaan yang telah dilaksanakan ini, diharap semua warga Johor dapat mematuhi arahan PKP dan sentiasa berada di rumah,” kata beliau.
Vidyananthan dalam masa yang sama merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang daripada sektor swasta kerana menyumbang kepada Tabung Bencana Negeri Johor.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada para petugas kesihatan dan keselamatan yang menjadi anggota barisan hadapan.
“(Yang) sentiasa bersedia dan responsif dalam menjalankan tugas tanpa mengira masa dan penat lelah dalam menangani penularan jangkitan Covid-19 ini,” katanya.
- Bernama
