Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan pelantikan empat Ketua Setiausaha (KSU) baharu kementerian secara serentak.

Dalam kenyataan media hari ini, Mohd Zuki berkata pelantikan empat KSU itu berkuat kuasa hari ini (23 Mac).

Beliau berkata Dr Zaini Ujang dilantik sebagai KSU Kementerian Alam Sekitar, Dr Mazlan Yusoff (KSU Kementerian Pengajian Tinggi), Zainal Abidin Abu Hassan (KSU Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Mohammad Mentek selaku KSU Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Zaini, 55, adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia, Ijazah Sarjana Kejuruteraan Persekitaran di Universiti Newcastle upon Tyne dan Doktor Falsafah dari Universiti Newcastle, United Kingdom.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, perancangan, penyelidikan dan alam sekitar khususnya teknologi air serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Kementerian Pengajian Tinggi.

Mazlan pula berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sejarah (Kepujian) dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Polisi Sains dari Universiti Saitama, Jepun dan Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan dari Universiti Hull, United Kingdom.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pemodenan perkhidmatan awam serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia di Jabatan Perdana Menteri.

Zainal Abidin, 58, pula adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia dan memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti New Haven, Connecticut, Amerika Syarikat.

Beliau telah berkhidmat dalam pelbagai bidang antaranya kewangan, penyelidikan dan penguatkuasaan serta pernah menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) di Kementerian Dalam Negeri.

Mohammad, 56, pula berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik dan Ijazah Sarjana Sains Statistik dari Universiti Minnesota, Amerika Syarikat.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia, penyelidikan dan dasar dalam karier perkhidmatannya, dan pernah dilantik antaranya sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

-Bernama