Pemain industri kelapa sawit, getah bantu kerajaan harungi tempoh Covid-19
Beberapa agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan di dalam sektor komoditi negara telah tampil memberi sumbangan bagi meringankan kerja-kerja pengurangan penyebaran wabak Covid-19.
Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang mempunyai keahlian melebihi 120 buah syarikat, telah menyumbang peralatan dan barangan seperti alat bantuan pernafasan, test kit Covid-19, cecair pencuci tangan, topeng muka, pakaian perlindungan diri dan lain-lain peralatan perubatan bernilai RM5 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Manakala Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), sebuah Majlis di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), bercadang untuk memberi sumbangan lima juta sarung tangan getah perubatan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi Kerajaan lain seperti PDRM, Imigresen dan Bomba.
“Sumbangan mereka adalah untuk mengurangkan bebanan kerajaan dalam mengharungi tempoh yang sukar ini. Ia juga adalah sebagai tanda solidarity ahli-ahli persatuan untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan kerajaan,” Menterinya Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata di dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya, bagi menjamin urusan penyampaian yang cepat dan berkesan kepada sasaran bantuan, mekansime agihan akan dilaksanakan oleh MPOA dan MARGMA kepada KKM dan Agensi di bawah KKM.
“Semoga sumbangan ini akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada mereka yang terlibat terutamanya para doktor, jururawat dan petugas-petugas di hospital untuk terus menyumbang bakti kepada rakyat dan negara,” beliau berkata.
Kementerian tersebut sebelum ini telah memberi kelonggaran kepada estet, kilang buah sawit dan kilang penapis sawit dan getah termasuk pekebun kecil sawit dan getah untuk terus menjalankan aktiviti dan beroperasi secara terkawal dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan.
Ini kerana hampir sejuta pekebun kecil sawit dan getah serta lebih lima juta rakyat Malaysia bergantung pendapatan di sepanjang rantaian industri sawit dan getah negara.
-Bernama

