Kerajaan negeri hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Terengganu Cakna COVID-19 Fasa Dua bagi meringankan beban rakyat akibat penularan wabak berkenaan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia adalah lanjutan daripada Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Covid-19 Fasa Satu, melibatkan peruntukan berjumlah RM640,000 yang dilancarkan semalam.

Bagi pakej rangsangan Fasa Dua, kerajaan negeri menetapkan beberapa perkara berkaitan pengecualian dan penangguhan bagi bayaran sewa premis perniagaan, perumahan dan pinjaman di bawah seliaan pihaknya.

"Di bawah pakej rangsangan kedua, semua bayaran sewa bagi Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Kos Rendah (RKR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) bagi bulan April dan Mei ini akan ditangguhkan.

Kerajaan negeri juga memutuskan untuk memberi penangguhan bagi bayaran balik pinjaman Yayasan Terengganu dan bayaran sewa bulanan Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) untuk bulan April dan Mei, katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasminya, hari ini.

Menerusi fasa ini juga, beliau berkata kerajaan negeri membenarkan penangguhan bayaran sewa bagi premis perniagaan di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi bulan April dan Mei.

-Bernama