Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan dalam mencegah aktiviti berpotensi menyumbang kepada pencemaran yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air terhadap pengguna.

SPAN dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya memfokuskan terhadap sumber serta aset bekalan air dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mendatangkan ganggu-gugat terhadap sistem bekalan air negara.

Menurut kenyataan itu lagi, SPAN akan bertindak tegas di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi memastikan pembekalan air yang berterusan dan selamat kepada rakyat Malaysia.

"Selain tindakan oleh SPAN melalui Akta 655, pelaku juga boleh diambil tindakan melalui akta yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan badan bertindak sumber air negeri.

SPAN ingin memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes yang disyaki melakukan pencemaran atau kecurian air kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 019-9863247 atau e-mel ke aduan@span.gov.my," menurut kenyataan itu.

Menjangkakan jumlah penggunaan air bersih meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac, SPAN turut meminta pengguna agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan kelangsungan bekalan tanpa gangguan atau catuan.

"Pengguna juga diminta menangguhkan atau mengehadkan penggunaan air pada tujuan yang kurang penting seperti mencuci kenderaan dan sebagainya," kata SPAN.

Menurut kenyataan itu lagi, SPAN melalui Bahagian Penguatkuasaan dan badan berkaitan sumber air di negeri termasuk operator komited untuk memastikan air bersih dapat terus dibekalkan melalui aktiviti pemantauan dan rondaan berterusan di kawasan berisiko berlakunya pencemaran bermula 18 Mac lepas.

"Pada 17 dan 18 Mac lepas, pengguna di sebahagian daerah di Selangor dikejutkan dengan situasi pencemaran bau yang memberi kesan gangguan bekalan air selama hampir dua hari yang dikesan datang dari sekitar kawasan perindustrian di Rawang, Selangor.

"Insiden itu telah dapat dikawal dengan segera hasil kerjasama antara Lembaga Urus Air Selangor, PASKAL Air Selangor, SPAN, Indah Water Konsortium (IWK) dan JAS," menurut kenyataan itu.

-Bernama