Sebagai langkah tambahan agar rakyat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan untuk mengurangkan perkhidmatan bas RapidPenang, termasuk bas percuma CAT, dan kekerapan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkhidmatan RapidPenang akan dikurangkan sebanyak 70 peratus mulai hari ini.

"Semua jadual perkhidmatan awam bas RapidPenang boleh dirujuk melalui aplikasi telefon pintar "rapidpenang journal planner" termasuk perubahan masa operasi feri yang kekerapannya telah dikurangkan," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebook peribadi beliau hari ini.

Terdahulu, Chow mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Covid-19 Pulau Pinang yang turut dihadiri barisan Exco negeri, wakil Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan beberapa agensi lain kerajaan.

Beliau turut menggesa semua rakyat agar mengurangkan pergerakan di luar rumah dan menggunakan khidmat penghantaran untuk membeli barangan keperluan.

"Situasi sekarang amat membimbangkan, jangan berdegil lagi… patuhilah PKP dengan tegas. Jika tidak, tempoh itu mungkin akan dilanjutkan dan kita akan menghadapi lebih banyak kesukaran. Kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi keadaan yang paling teruk," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu juga menolak dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan tindakan mengingkari arahan PKP merupakan kelemahan di negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Chow berkata beliau sememangnya tidak berminat untuk berpolitik mengenai isu Covid-19 kerana usaha kerajaan negeri ketika ini ialah untuk mengekang penularan wabak tersebut.

"Kita tidak akan berasa bangga sedikitpun walaupun jumlah kes Covid-19 di Pulau Pinang adalah kurang berbanding negeri lain. Ini bukan masa untuk membeza-bezakan rakyat. Mangsa di Pulau Pinang pun rakyat Malaysia, mangsa di Johor pun rakyat Malaysia, mangsa di Kelantan pun rakyat Malaysa dan mangsa di Sarawak pun rakyat Malaysia.

"Kita rakyat Malaysia mesti bersatu untuk menangani wabak sebagai sebuah negara," katanya.

-Bernama